MHO Dedah Rakaman Mengejut: Pegawai Didakwa Tawar RM500 Untuk Tutup Kes!

KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2025 – Malaysia Humanitarian Organisation (MHO) tampil membongkar satu dakwaan serius melibatkan layanan tidak wajar terhadap seorang pengadu dalam kes penipuan sindiket Ahlong yang kini sedang disiasat pihak polis.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang individu yang mendakwa menjadi mangsa pinjaman wang tidak berlesen. Mangsa pada awalnya menyangka pemberi pinjam tersebut berlesen, namun kemudian diugut untuk membayar kadar faedah yang melampau dan tidak munasabah.

“Kita bantu pengadu menyediakan draf laporan polis di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, kerana jelas pemberi pinjam tanpa lesen telah melakukan kesalahan. Tapi selepas laporan dibuat, pengadu mendakwa dirinya diperlakukan dengan cara yang sangat tidak sepatutnya,” ujar Dato’ Hishamuddin.

Menurutnya, pengadu mendakwa semasa proses diambil keterangan, dia tidak dibenarkan duduk di atas kerusi dan diarahkan duduk di atas lantai.

“Saya tak tahu sama ada ini SOP baru atau tidak. Sepanjang lebih 15 tahun saya dalam industri undang-undang, belum pernah saya lihat pengadu diminta duduk atas lantai untuk beri keterangan. Biasanya hanya suspek jenayah yang diperlakukan begitu,” jelasnya.

Lebih mengejutkan, katanya, pengadu kemudian menerima panggilan daripada seorang pegawai penyiasat (IO) yang didakwa meminta agar laporan polis tersebut ditarik balik dengan tawaran bayaran sebanyak RM500.

“Saya tak nampak logiknya kenapa perlu tarik laporan, sedangkan kesalahan telah pun berlaku. Ini bukan perkara kecil kerana melibatkan jenayah pinjaman tidak berlesen dan potensi pelanggaran di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA),” tegas beliau.

Dato’ Hishamuddin turut mendedahkan bahawa pengadu sempat merakam perbualan tersebut, yang kini dijadikan bukti dalam siasatan tatatertib dalaman.

Beliau turut memuji tindakan pantas pihak OCPD di daerah berkenaan yang segera memanggil pengadu untuk membantu siasatan lanjut terhadap dakwaan salah laku berkenaan.

“Kita bagi kredit kepada OCPD kerana bertindak cepat. Hari ini pengadu telah hadir ke IPD berkenaan untuk memberi keterangan berkaitan siasatan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat,” tambah beliau.

MHO menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berdiam diri dalam isu melibatkan integriti dan keadilan kepada rakyat yang menjadi mangsa Ahlong, serta mendesak siasatan telus dan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mencemarkan imej pasukan keselamatan.

#MHO #Ahlong #KeadilanUntukMangsa #DatoHishamuddinHashim #PinjamanTidakBerlesen

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f