KUALA LUMPUR- Persatuan Pengusaha Kayu Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (Peka) berkata setiap tahun dianggarkan sejumlah RM5.4 juta kerugian dialami pemain industri apabila terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan penipuan.

Presiden Peka, Farosham Naizamohideen berkata penipian dilakukan melalui penjualan produk perabot kayu dan ukiran kayu yang tidak berkualiti sama ada secara fizikal atau atas talian.

Tambah beliau, scammer kayu ini semakin berani apabila mereka secara terang terangan memperdayakan pelanggan memaklumkan produk yang dijual adalah murah namun berkualiti tinggi di saluran atas talian.

Dalam apda itu, Farosham berkata, pihaknya mengambil serius dan amat kesal dengan tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab dalam mengambil kesempatan khususnya pada musim perayaan.

Beliau berkata penipuan itu secara tidak langsung memberikan impak negatif kepada industri.

“Seterusnya menyebabkan pengusaha menerima tekanan daripada pelanggan yang menggunakan harga yang tidak munasabah dengan merujuk harga ditawarkan scammer kayu ini,” katanya.

Farosham juga meluahkan rasa kesal apabila scammer kayu ini turut menyalahgunakan gambar yang dipromosikan oleh pengusaha perabot dan ukiran kayu tempatan asli dengan meletakkannya dalam platform jualan barangan atas talian kendalian mereka.

Katanya, lebih membimbangkan, lebih 1,000 pengusaha perabot dalam kalangan warga asing yang menguasai pasaran secara fizikal dan dalam talian yang menjual perabot dengan harga mahal tetapi dengan kualiti rendah

Justeru Farosham menggesa agar Lembaga Perindustrian Kayu (MTIB) menguatkuasakan lesen pengusaha kedai perabot bagi memudahkan pemantauan dan membendung isu penipuan atau Scammer Kayu dalam penjualan perabot kayu serta ukiran kayu.

Pada masa ini, katanya lesen perniagaan kedai perabot tertakluk di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau menjelaskan Peka telah memohon supaya MTIB mewujudkan lesen kedai perabot, namun kekangan berlaku apabila akta MTIB hanya memfokuskan aspek produk perkayuan sedangkan perabot berkenaan turut mengandungi material lain seperti besi.

Farosham turut berharap kerajaan dapat menguatkuasakan lesen ini di bawah MTIB bagi memastikan hak pengusaha dan pengguna terbela.

Katanya, pihaknya turut memerangi isu scammer kayu dengan mengambil inisiatif termasuk mengadakan kempen kesedaran antaranya Product Spotlight yang memperkenalkan syarikat sah dan berdaftar di bawah persatuan.Untuk rekod setakat Oktober 2023, sebanyak 252 syarikat berdaftar di bawah Peka.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai menyemak di laman sesawang www.pekapgrm.com terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan syarikat atau pengusaha perabot kayu dan ukiran kayu.

Farosham juga menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran tidak munasabah menerusi iklan di laman sosial.

Beliau turut makluman, harga biasanya bergantung kepada reka bentuk, bahan, dan kualiti produk.

“Misalnya set sofa biasa anggaran harga dalam RM2 ribu ke atas manakala jenis Chesterfield kira-kira RM3 ribu ke atas.

“Oleh yang demikian, pengguna perlu cakna dan mereka yang tertipu perlu berani tampil membuat laporan berserta bukti kepada pihak berkuasa bagi memudahkan siasatan,” katanya

Leave a Reply