DUNGUN – Persatuan Ecodicstrict bersama 20 orang sukarelawan terdiri dari pengusaha selam skuba tempatan, Che Wan Scuba, Malaysia Scuba Diving Association (MSDA), Nelayan Tempatan dengan kerjasama dan sokongan dari Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Bomba Putrajaya, Majlis Perbandaran Dungun, MOTAC Negeri Terengganu dan Reef Check Malaysia (RCM) telah mengadakan program pembersihan pukat hanyut di lokasi selaman Pulau Tenggol, baru-baru ini.
Pengerusi Persatuan Ecodistrict Ravefenizal berkata, ini adalah program kali pertama pembersihan Pukat Hanyut dijalankan di Pulau Tenggol.
“Inisiatif ini memerlukan kerjasama dan sokongan lebih banyak pihak untuk tampil bagi memastikan kepelbagaian biodiversiti marin.
“Diharap dengan program seperti ini keterjaminan sumber perikanan dapat dipelihara sebagai sumber pendapatan nelayan tempatan di kawasan perairan Dungun Terengganu.
“Persatuan juga komited untuk menubuhkan skuad pakar untuk Ghostnet Removal Task Force di seluruh negara bagi memastikan tindakkan segera dapat dilaksanakan apabila terdapat lokasi yang terancam oleh pukat hanyut,” katanya dalam satu kenyataan.
Penyelaras program, Nur Hayat Hazmir berkata keluasan Pukat Pari didapati meliputi kawasan terumbu karang yang terdapat dikawasan selaman itu membahayakan pelbagai biodiversiti marin terutama sekali spesis penyu yang hampir pupus.
“Hampir 500kg pukat di kedalaman 30 meter berjaya dibersihkan dan masih terdapat hampir 80 peratus Pukat Pari yang masih perlu dibersihkan dilokasi yang sama dan lokasi berhampiran untuk masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengusaha selam skuba tempatan Che Wan Scuba, Shafuan Zainoddin berkata, Pukat Pari hanyut datangnya dari nelayan haram dan tidak bertanggungjawab ini menjejaskan hidupan marin dilokasi selaman di Pulau Tenggol.
“Tempat ini adalah destinasi selam skuba unik dimana ianya kawasan ikan paus jenis Whaleshark dan penyu yang juga spesis marin terancam.
“Menerusi perbualan saya bersama nelayan tempatan, sumber tangkapan didapati berkurangan secara mendadak sejak Pukat Pari yang dianggarkan telah terdampar hampir 8 bulan dikawasan itu.
“Mereka berharap program ini dapat diteruskan secara kerap pada masa akan datang untuk memastikan sumber ekonomi tangkapan nelayan terpelihara,” katanya.