PETALING JAYA, 19 Julai 2022 – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Datuk Zahidi Zainul Abidin hadir di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor bagi menyaksikan satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Ekonomi Padang Besar (YEPB) dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) yang melatih tenaga kerja tempatan khususnya bagi program Jaringan Telekomunikasi Negara (JENDELA).

Menurut Zahidi, inisiatif antara YEPB dengan NIOSH ini hadir seiring dengan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“K-KOMM dan SKMM sentiasa memberikan tumpuan kepada penambahbaikan perkhidmatan komunikasi melalui pelaksanaan JENDELA bagi menangani isu akses kepada Internet berkualiti sekali gus merapatkan jurang digitalisasi antara bandar dan luar bandar,” katanya ketika Sidang Media disini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi NIOSH YB Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong.

Tambah Zahidi lagi, MoU ini melibatkan kolaborasi strategik antara YEPB dengan NIOSH dalam melaksanakan kursus-kursus kecekapan dalam bidang telekomunikasi dan aktiviti-aktiviti keselamatan untuk mengurangkan kemalangan di tempat kerja.

“Sehubungan dengan itu, YEPB telah dilantik sebagai urus setia dalam menguruskan permohonan kemasukan kontraktor untuk menjadi vendor JENDELA selain menguruskan bekalan tenaga kerja bagi kemudahan kontraktor-kontraktor terbabit, kata Zahidi

“Bagi tujuan ini, tenaga kerja yang menggalas tanggungjawab sebagai Juruteknik Fiber Optik dan Authorised Gas Tester wajib memperoleh sijil Kecekapan Fiber Optik (CA2C) yang dipantau oleh pihak Telekom Malaysia.

“Manakala pihak NIOSH yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia pula akan mengeluarkan sijil kecekapan NIOSH-TM Safety Passport (NTMSP), Authorized Entrant and Standby Person for Confined Space (AESP-TM), dan Authorized Gas Tester and Entry Supervisor (AGT-ES).

“Jadi saya lihat kerjasama strategik antara YEPB dengan NIOSH ini bukan hanya menerusi program galakan latihan malah melibatkan inisiatif bagi mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja,” jelas Zahidi lagi.

MoU yang telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif YEPB, Puan Aweena Mohd Arshad dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Tuan Haji Ayop Salleh ini akan melibatkan seramai lebih 30,000 tenaga kerja bagi melaksanakan kerja-kerja penyelarasan JENDELA di seluruh negara sehingga 2025.

Justeru, Pihak YEPB dan NIOSH akan mengadakan sesi latihan sijil kecekapan bermula pada 27 Julai 2022 ini di NIOSH, Bangi untuk peserta-peserta juruteknik fiber optik dan kursus latihan menara 5G.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila e-mel admin@yepb.my.

Leave a Reply