editor@aatvnews.com
Gua Musang, 26 November 2023 – JAKOA Kelantan & Terengganu menerima laporan daripada penduduk kampung dan juga beberapa portal akhbar tempatan berkenaan jalan runtuh di laluan Kampung Orang Asli Hendrop menuju ke Kampung Orang Asli Tuel, di Jajahan Kecil Lojing.
Memandangkan jalan tersebut berdaftar di bawah MARRIS dan berada di bawah pemantauan Pejabat Tanah serta Jajahan Kecil Lojing, pihak JAKOA Kelantan & Terengganu telah berhubung dengan Penolong Ketua Jajahan berkenaan dan beliau menyatakan bahawa runtuhan tersebut telah dibersihkan.
Walau bagaimanapun, hanya separuh daripada runtuhan dapat dibersihkan terlebih dahulu kerana bimbang akan berlakunya runtuhan susulan. Namun jalan tersebut dapat dilalui secara sehala dan seterusnya dapat menghubungkan penduduk Kampung Orang Asli Tuel ke Kampung Orang Asli Hendrop serta Gua Musang bagi menjalankan urusan harian.
Pihak Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing juga memaklumkan bahawa pembersihan tersebut adalah untuk sementara waktu sahaja dan tindakan lanjut akan diusahakan segera bagi kemudahan serta keselamatan penduduk Orang Asli yang terjejas.
JAKOA akan terus menghulurkan bantuan daripada aspek sosial dan kebajikan sebagaimana skop penugasan yang ditetapkan menggunakan peruntukan yang disalur oleh kerajaan.