editor@aatvnews.com

Putrajaya, 26 November – KUD@Putrajaya 2023 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berlangsung selama lima hari, dilihat mencapai impak bukan sahaja dari segi jumlah jualan, malah memberi persepsi yang positif bahawa kualiti produk usahawan tempatan khususnya usahawan desa adalah setanding dengan produk yang diimport dari luar negara.

Timbalan Menteri KKDW Datuk Hajah Rubiah Hj Wang berkata seramai 1,045,412 pengunjung direkodkan hadir ke KUD@Putrajaya yang berlangsung di Anjung Floria, setakat jam 12 tengahari hari ini.

Manakala jumlah transaksi jualan secara tunai, padanan perniagaan dan tempahan yang direkodkan di Karnival ini bernilai RM12,504,354 (setakat jam 12 tengahari hari ini) melepasi sasaran penganjuran sebanyak RM 10 juta.

KUD@Putrajaya yang bermula pada 22 November lepas disertai 10 agensi di bawah KKDW iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), FELCRA Berhad, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

Selain itu, pelaksanaan program ini juga didokong menerusi penglibatan pengisian program dari Bahagian Pembangunan Usahawan Desa (UD), Bahagian Korporat dan Pembangunan Kemahiran (K), Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti (EK) dan GiatMARA.

Tarikan utama karnival ialah komponen produk pelancongan luar bandar yang berjaya menambat hati pengunjung yang hadir dengan memberi peluang mereka merasa pengalaman bercuti di desa.

Komponen ini antara sektor pembangunan ekonomi luar bandar yang berpotensi tinggi untuk dimajukan, bukan sahaja menjana pendapatan tetapi memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat luar bandar.

Ia melibatkan penyertaan Lembaga Kemajuan Wilayah di bawah KKDW di seluruh negara serta Program Desa Lestari dan pengenalan kepada Konsep Desa Sejahtera iaitu konsep desa ideal yang ingin diperkenalkan kepada masyarakat luar bandar.

Menerusi KEDA pengunjung disajikan dengan Glamping di tepian Laman Padi disamping menikmati minuman kopi produk usahawan luar bandar bimbingan KEDA. KEJORA pula mempamerkan Pavilion Bahtera yang mempromosikan produk-produk tarikan pelancong di samping Laman Kelulut serta peluang menyertai Gelanggang Sukan Rakyat yang memberi ruang pengunjung mengimbau kenangan lalu menerusi Sepak Raga, Batu Seremban, Boling Kelapa dan Congkak.

KETENGAH pula mempamerkan Laman Herba dengan dimeriahkan dengan Beca Berhias serta Pameran Secara Virtual HouseBoat Tasik Kenyir dan Kelah Sanctuary sebagai produk tarikan pelancongan luar bandar yang sangat terkenal di wilayah Terengganu Tengah.

Tidak ketinggalan KESEDAR yang mengetengahkan seni budaya negeri Kelantan sebagai tarikan pelancongan luar bandar seperti persembahan Dikir Barat, pameran dan demonstrasi Wau Bulan dan juga persembahan Gasing Terbang.

Sebagai fokus utama pelaksanaan KUD @ Putrajaya ini, menampilkan 1,000 usahawan termasuk penjual masakan panas, penjaja kecil yang menjual pelbagai makanan dan minuman dari agensi-agensi di bawah KKDW yang merancakkan program kali ini.

Majoriti usahawan luar bandar yang terlibat terdiri daripada kategori makanan dan minuman, diikuti oleh kategori fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kategori kecantikan dan kesihatan, kategori kraftangan dan kategori produk pertanian.

Penganjuran KUD@Putrajaya 2023 yang memasuki edisi kesembilan ini menjadi platform terbaik bagi usahawan desa yang mendapat bimbingan KKDW, agensi dan usahawan luar bandar berpotensi yang memerlukan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

KUD @ Putrajaya kali ini, bukan sekadar mampu memperkasa masyarakat perdesaan dengan aktiviti perniagaan, malah dapat menyantuni masyarakat secara keseluruhannya.

Leave a Reply