BANGI – Kementerian Sumber Manusia yakin
‘Future Skills Talent Council’ (FSTC) yang dilancarkan pada Jumaat lalu dapat menyelesaikan masalah ketidapadanan graduan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan keperluan industri.
Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata FSTC akan lebih fokus keperluan melahirkan bakat-bakat baru dilatih masuk ke dalam industri.
“Bagaimana untuk melihat bidang niche, terutamanya teknologi baru yang sekarang ini sedang rancak di seluruh dunia.
“Kita pun tidak mahu ketinggalan terutama bidang teknologi hijau, elektrik kenderaan elektrik, kepandaian buatan, teknologi hidrogen dan lain-lain,” katanya selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Malaysia ke-9 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Turut hadir sama ialah, Presiden Persatuan Pusat Bertauliah SLDN, Datuk Joyah Abd Rashid.
Pada Jumaat lalu, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) melancarkan FSTC bagi pembangunan bakat berkemahiran dan persediaan alam pekerjaan.
Mustapha berkata program itu akan menjadi kunci penyelesaian bagi cabaran bakat Malaysia, terutamanya isu pekerja di bawah kelayakan atau ketidakpadanan bakat.
Dalam pada itu, Mustapha berkata fungsi FSTC adalah keanggotaannya yang terdiri pihak akademia, pemain industri, dan wakil Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menjadi kunci penyelesaian bagi cabaran bakat Malaysia.
“Mereka akan melihat dan berbincang megenai keperluan industri, dan hasil daripadanya, mewujudkan kursus atau latihan tertentu yang dapat diajarkan di IPT atau di peringkat Pusat TVET bagi memenuhi keperluan itu,” katanya.
Dalam majlis tersebut, seramai 800 graduan daripada 22 pusat bertauliah dan syarikat menerima anugerah dalam bidang masing-masing.
SLDN yang mengambil model dari Jerman, merupakan satu kaedah latihan berlandaskan “industry driven” di mana ia dikendalikan melalui usahasama syarikat-syarikat dan institusi latihan menerusi kaedah Usahasama Pusat Latihan Kemahiran (PLK) dan Syarikat Latihan Dalaman (In-house).
Program ini membabitkan 70 peratus latihan praktikal, manakala 30 peratus lagi teori dan pembelajaran dalam kelas.
SLDN juga berupaya melahirkan pekerja mahir (K-Workers) dan berpengetahuan tinggi selaras dengan keperluan industri yang memiliki tiga elemen kompetensi iaitu Teknikal, Sosial, Kemanusian dan Metadologi serta Pembelajaran.
Kerajaan berhasrat mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2023.