Oleh: Nasrul Ali Hasan bin Abdul Latif
Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia
Perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini sekali lagi menampilkan nama-nama baharu yang terkait dengan Penerimaan dana politik dari Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB). Sebelum ini, pemimpin yang turut dikaitkan menerima wang dari syarikat berkenaan adalah YB Khairy Jamaluddin, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan YB Datuk Seri Hishamuddin Hussein namun masing-masing telahpun menafikan dan terkini Sharil Sufian Hamdan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia; Tan Sri Chan Kong Choy, Bekas Menteri Pengangkutan; Tan Sri Ong Ka Chuan, Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri 2 dan Tan Sri Rahmat Abu Bakar pula dikaitkan Penerimaan wang hingga jutaan ringgit. Namun, Tan Sri Rahmat telah membuat kenyataan bertulis menafikan penerimaan tersebut beserta penjelasannya yang lain.
Wira PUTRA gesa David Tan Siong Sun iaitu Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB segera mengambil tindakan menafikan bahawa kenyataannya baru-baru ini bahawa bukan palsu, fitnah atau berniat jahat seperti yang didakwa Tan Sri Rahmat. Ini kerana keterangan yang dinyatakan bukan sahaja merupakan keterangan yang menghina kewibawaan mahkamah jika ianya palsu malah mencemar nama yang didakwa walaupun mereka telah menafikannya. Tan di dalam mahkamah telah mengangkat sumpah di dalam kandang saksi dan dia tidak boleh berbohong dengan apa jua keterangannya kepada mahkamah.
Wira PUTRA cabar untuk Tan mengemukakan lebih banyak bukti diluar mahkamah bersabit tuduhannya terhadap individu yang dikaitkan contohnya Tun Dr Mahathir yang juga dikatakan menerima dana terbabit melalui anak saudaranya iaitu Tan Sri Rahmat. Kebenaran perlukan pembuktian, dan pembuktian yang benar akan menentukan sama ada suatu tuduhan itu berasas dan hukuman perlu dikenakan atau tidak.
Kemuliaan mahkamah dan kebijaksanaan Yang Arif tidak boleh dipersenda dalam menegakkan keadilan. Jika benar kenyataan Tan adalah palsu dan mengelirukan ia wajib diambil tindakan dan dia mestilah bertanggungjawab sepenuhnya atas keterangan yang dinyatakan. Jika ia adalah benar, maka nama-nama yang disebut perlu segera disiasat dan tindakan sewajarnya perlu dikenakan. Jika didapati ada tangan Ghaib yang mengarahkan Tan untuk membuat tuduhan yang mengelirukan, individu terbabit juga perlu didedahkan dan dikenakan hukuman setimpal.