SHAH ALAM, 3 OGOS 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor komited membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan dan subsidi dengan kerjasama strategik agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan keberadaan bekalan barangan tersebut di pasaran dapat dinikmati oleh pengguna di Selangor.

KPDNHEP Selangor telah menghasilkan tiga (3) kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) pada 28 dan 29 Julai 2022 yang lepas.

Ketiga-tiga kes tersebut disyaki ada perlakuan tidak beretika melibatkan barang kawalan subsidi bahan api diesel di Kuala Selangor. Tindakan ini adalah kerjasama strategik Bahagian Penguat Kuasa, Putrajaya, KPDNHEP Selangor bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Selangor (SPRM) yang menjalankan pemantauan, risikan dan serbuan.

Pada 28 Julai 2022, dua (2) kes dihasilkan mensasarkan dua (2) premis berbeza iaitu sebuah syarikat lombong pasir terletak di kawasan perlombongan, Kuala Selangor manakala stesen minyak beroperasi di Jalan Rawang, Bestari Jaya, Selangor.

Hasil daripada serbuan dan pemeriksaan secara bersepadu ini terhadap kedua-dua premis sasaran disyaki terdapat aktiviti / elemen yang menunjukkan wujud urus niaga jual beli minyak diesel di antara stesen minyak dengan pemandu lori-lori pasir tersebut.

Minyak diesel yang dibeli oleh lori-lori pasir tersebut dibawa dan disimpan di dalam skid tank yang ditemui berada di kawasan lombong pasir.

Serbuan pertama di kawasan lombong pasir ada penahanan dibuat melibatkan dua (2) pemandu lori yang masing-masing dipercayai melakukan pengisian minyak diesel ke dalam skid tank yang berada di atas lori masing-masing dan salah seorang daripadanya warganegara Indonesia. Pada masa yang sama, penahahan turut dibuat ke atas seorang lelaki yang dipercayai penyelia/penjaga kawasan lombong pasir. Ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Arahan deklarasi stok dan mengemukakan maklumat / dokumen di bawah Seksyen 8, AKB 1961 telah dikeluarkan kepada kesemua suspek bagi barang kawalan minyak diesel yang ditemui semasa serbuan berada dalam milikan/kawalan suspek.

Tindakan sitaan telah dilaksanakan di kawasan lombong pasir yang melibatkan dua (2) buah lori jenis treler, tiga (3) unit skid tank dan resit pembelian minyak diesel.

Anggaran jumlah minyak diesel yang disita di lokasi pertama adalah sejumlah 20,400 liter. Nilai rampasan barangan kawalan termasuk kenderaan dianggarkan keseluruhan berjumlah RM162,500.00.

Bagi serbuan kedua di stesen minyak yang disyaki wujud urus niaga dengan pemandu lori daripada kawasan lombong pasir berkenaan turut disiasat dan tindakan menyita resit-resit jualan minyak diesel dan dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.

Kes ketiga pula dihasilkan pada 29 Julai 2022 juga merupakan operasi bersepadu di antara KPDNHEP Cawangan Kuala Selangor bersama SPRM Negeri Selangor. Kes ini mensasarkan sebuah Premis Tanpa Nombor, Kawasan Lombong Pasir terletak di Bestari Jaya, Selangor.

Hasil daripada serbuan, pasukan telah menyita dua (2) unit skid tank disyaki berisi minyak diesel dengan anggaran jumlah 15,000 liter kesemuanya. Siasatan lanjut terhadap premis tanpa nombor ini dilaksanakan di bawah AKB 1961.

Ketiga-tiga kes yang dihasilkan pada 28 dan 29 Julai 2022 lepas diambil dan disiasat berhubung kesalahan yang disyaki telah dilakukan di bawah AKB 1961 dengan potensi kesalahan seperti berikut :
a) Seksyen 20 (1) AKb 1961 – Memindah/menyimpan barang kawalan di tempat tidak berlesen.
b) Subseksyen 7(4) AKB 1961 – Mana-mana orang yang gagal mengemukakan lesen atau surat kebenaran dalam masa yang munasabah apabila diminta oleh pegawai bekalan adalah melakukan suatu kesalahan.
c) Seksyen 21 AKB 1961 – Memiliki barang kawalan dengan menimbukan syak yang munasabah akan melakukan kesalahan; dibaca bersama ; Peraturan 3 PPKB 1974- Berurusan Barang Kawalan Berjadual tanpa lesen dan; Peraturan 18 (1) PPKB (Pindaan) 2021- Tidak boleh menggunakan atau mengambil barang berjadual sepertimana dinyatakan dalam Ruang 1 Bahagian IV Jadual, Tidak boleh ada dalam milikannya kuantiti yang dinyatakan dalam Ruang 2 Bahagian IV Jadual tanpa kebenaran melalui permit yang dikeluarkan Pengawal.
d) Peraturan 12A – Melanggar Arahan Pengawal Bekalan.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi Satu Juta Ringgit Malaysia (RM1,000,000.00) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman bin Adam menegaskan pihaknya, akan bertindak tegas serta tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna.

Beliau juga meminta pengguna untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan berkaitan perlakuan penyelewengan barangan bersubsidi di saluran rasmi berikut :
i. Whatsapp 019-2794317/ 019-8488000
ii. Portal e-aduan.kpdnhep
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDNHEP

Leave a Reply