UMNO mengambil maklum tentang keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak.
UMNO menghormati keputusan dan hak mutlak yang telah diambil oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Sementara itu, UMNO mendukung Perlembagaan Persekutuan, dan UMNO sangat terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut.
Bagaimanapun, UMNO akan tetap meneruskan usaha-usaha mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden parti sesuai dengan laras undang-undang negara di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung
UMNO yang mahukan usaha pembelaan Dato’ Seri Najib diteruskan.
“UMNO ingin menegaskan, pembelaan terhadap Dato’ Seri Najib dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.
“Sehubungan itu, UMNO berharap atas prinsip keadilan, Perdana Menteri akan sama-sama menjunjung semangat ini.
MKT Umno mengadakan mesyuarat khas pagi tadi susulan pengumuman Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang mengurangkan hukuman penjara dan denda kepada Najib, semalam.
Susulan pengurangan 50 peratus ini, bekas Perdana Menteri itu yang menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022 akan terus berada di sebalik tirai besi untuk tempoh kira-kira empat tahun tujuh bulan lagi.
Kenyataan lembaga itu menyebut, sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah
dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan tersebut yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Najib disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 12 tahun pada tahun 2022 dan didenda RM210 juta berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.