Bangi, 1 Februari 2024- Pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) telah berjaya mengumpulkan dana melebihi RM 60,000.00 untuk disumbangkan kepada badan kebajikan melalui program yang dijalankan. Kejayaan ini mencerminkan komitmen tinggi pelajar UNITEN dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat sambil mengejar pendidikan mereka.


Ini merupakan sebahagian daripada tugasan bagi subjek Islam dan Civil Society II (MPU 3412). Dalam pelaksanaan program ini, pelajar-pelajar dibahagikan kepada 13 kumpulan, dan setiap kumpulan diberi tanggungjawab untuk mengumpulkan dana bagi badan kebajikan yang mereka pilih, seperti MERCY Malaysia, Kechara Soup Kitchen, Pertubuhan Rumah Nur Sakinah, serta lain-lain badan kebajikan. Inisiatif ini tidak hanya mencerminkan kejayaan akademik yang cemerlang, tetapi juga memperlihatkan semangat kerjasama dan kepedulian tinggi di kalangan pelajar UNITEN.
Antara projek yang berjaya dilaksanakan oleh pelajar UNITEN ialah Projek Steps for Hopes: Palestine. Projek ini merupakan program khidmat masyarakat yang dianjurkan oleh sekumpulan pelajar UNITEN bekerjasama bersama MERCY Malaysia untuk mengutip sumbangan kepada rakyat Palestin. Program tersebut menjalankan 2 aktiviti iaitu fundraising dan 5km Charity Virtual Run. Para peserta terdiri daripada warga UNITEN dan orang awam.


Daripada yuran penyertaan virtual run, para peserta mendapat t-shirt larian dan medal. Hasil keuntungan daripada program tersebut diserahkan kepada MERCY Malaysia melalui akaun YCU. Melalui program ini, mereka berhasil menyalurkan sumbangan tunai sebanyak RM5,000.00 kepada pihak MERCY Malaysia.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Zamri Yusoff, Timbalan Naib Canselor UNITEN (Penyelidikan dan Inovasi), Memangku Tugas-Tugas Naib Canselor UNITEN, dalam ucapannya menyatakan, “Kami sangat bangga dengan kejayaan pelajar UNITEN dalam mengumpulkan sumbangan yang signifikan ini. Ini adalah contoh yang baik tentang bagaimana pendidikan dan pemberian
kepada masyarakat dapat berjalan seiring. Kami berharap usaha mereka akan memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk turut terlibat dalam aktiviti kemanusiaan.”


Majlis penyampaian sumbangan telah diadakan di kampus UNITEN pada 30 Januari 2024 dan dihadiri oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Zamri Yusoff, Timbalan Naib Canselor UNITEN
(Penyelidikan dan Inovasi), Memangku Tugas-Tugas Naib Canselor UNITEN, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Ezanee bin Rusli, Ketua Pegawai Operasi UNITEN, Prof Madya Shalimar Abdullah, Vice President 1 MERCY Malaysia, Puan Shazlini, Pengurus Kanan YCU,
Muhammad Zariff Amri bin Raziyun, Pengarah Program Projek Steps for Hopes: Palestine serta wakil-wakil daripada NGO yang menerima sumbangan.


Sumbangan yang diterima bukan sahaja mencerminkan kejayaan pelajar UNITEN dalam mencapai matlamat mereka, tetapi juga menyumbang kepada peningkatan kesedaran dan
tanggung jawab sosial di kalangan pelajar. UNITEN komited dalam melahirkan graduan yang bukan hanya cemerlang di dalam akademik tetapi juga peka terhadap keperluan masyarakat.


Ini juga menunjukkan kesungguhan dan daya kreativiti pelajar UNITEN dalam menjalankan projek amal, sekaligus memberikan sumbangan yang berkesan kepada mereka yang memerlukan. Inisiatif seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan, tetapi juga memperlihatkan semangat kerjasama dan kepedulian dalam membantu sesama masyarakat.

Leave a Reply