PUTRAJAYA, 7 Februari – Sukacita dimaklumkan bahawa permohonan Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR) akan mula dibuka pada esok, 8 Februari 2024 sehingga 8 April 2024. Biasiswa ini dibuka sempena ulang tahun Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang ke-121.

Biasiswa ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang ingin atau sedang
melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di universiti awam atau swasta
merangkumi pelbagai bidang.

Sejak tahun 2007, Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) telah menganugerahkan
BTAR kepada lebih 400 orang pelajar yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di pelbagai universiti tempatan awam dan swasta dengan anggaran peruntukan lebih RM50 juta. YTAR telah ditubuhkan pada tahun 1966 di bawah Akta Parlimen dengan objektif awal untuk menyokong belia melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi.

BTAR adalah biasiswa komprehensif yang berfungsi sebagai platform untuk
membentuk pemimpin muda yang komited untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Biasiswa ini terbuka kepada pelajar yang berasal daripada pelbagai latar belakang di Malaysia, terutama daripada komuniti kurang berkemampuan. Selain penilaian daripada aspek akademik dan kokurikulum, pelajar turut akan dinilai melalui ciri-ciri kepimpinan, keupayaan untuk mengatasi cabaran serta hasrat untuk menyumbang semula kepada negara.

YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara berkata beliau berharap agar “YTAR terus meningkatkan akses pendidikan tinggi terutama kepada golongan yang kurang bernasib baik rentas agama dan bangsa di samping mengetengahkan pembangunan kepimpinan berasaskan nilai dalam kalangan belia”.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak lebih 30 biasiswa ditawarkan pada tahun ini dengan anggaran peruntukan sebanyak RM4 juta.

BTAR menawarkan sembilan (9) jenis elaun untuk meringkan beban pelajar dalam menjalani pengajian termasuk tajaan penuh yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun pembangunan diri, elaun buku, elaun alat tulis, elaun komputer riba, elaun tesis, elaun pakaian rasmi dan elaun tiket penerbangan. Selain itu, BTAR turut menawarkan program pembangunan kepimpinan selama dua (2) tahun.

Para pelajar yang berminat untuk memohon BTAR boleh melayari laman web YTAR di www.yayasantar.org.my Kementerian Perpaduan Negara.

Leave a Reply