MELAKA, 31 Oktober 2026 – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N18 Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, menegaskan komitmen beliau untuk meneruskan kesinambungan pembangunan dan perancangan yang telah dirintis sebelum ini demi kemaslahatan rakyat setempat.
Beliau yang dinamakan sebagai calon nombor satu bagi kerusi berkenaan berhasrat memberi fokus kepada penambahbaikan penyelenggaraan infrastruktur serta penyediaan hab kemasyarakatan sebagai titik pertemuan penduduk.
Mengulas mengenai tanggapan segelintir pihak berhubung latar belakang bapanya yang pernah memimpin pentadbiran negeri dan kawasan tersebut, Ridhwan menyifatkan legasi itu sebagai nilai tambah dan bukan perkara asing lagi buat masyarakat setempat.
”Ayahanda saya pernah memimpin Melaka dan Ayer Molek, jadi ia bukan sesuatu yang asing. Namun saya hadir menawarkan perkhidmatan berpaksikan rekod kerja serta usaha bersama rakan kepimpinan lain demi memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” jelas beliau.
Menyentuh kerjasama politik, Ridhwan menyatakan bahawa persefahaman strategik antara BN dan Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS berjalan lancar hasil beberapa siri perbincangan pucuk pimpinan.
Menurut beliau, formula kerjasama di kawasan Hang Tuah Jaya menunjukkan komitmen kedua-dua pihak yang saling menyokong di antara DUN Ayer Molek dan DUN Pengkalan Batu, mahupun di DUN Bukit Katil serta Ayer Keroh.
Kerjasama utuh ini disifatkannya sebagai gambaran awal persefahaman politik yang berpotensi diterjemahkan ke peringkat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.
Bagi memikat pengundi muda dan kumpulan Gen Z menjelang pelaksanaan Undi18, Ridhwan menekankan kepentingan pendekatan khusus yang menyasarkan akses pendidikan berkualiti dan peluang pekerjaan.
Beliau berkata, setiap kelompok umur mempunyai keutamaan tersendiri; jika warga emas mengutamakan kemudahan kesihatan dan kelompok pertengahan mementingkan kestabilan keluarga, golongan belia amat mendambakan masa depan kerjaya yang jelas.
Sepanjang tempoh kempen 14 hari ini, beliau bertekad mendekati segenap lapisan masyarakat Ayer Molek bagi meyakinkan pengundi untuk memberi mandat kukuh kepada parti demi pembentukan kerajaan negeri yang stabil.
#PRNMelaka #AyerMolek #RidhwanAli #BeritaAAC #Undi18