Rayu Campur Tangan MP Bagan Datuk & PDRM
KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan segera dan tegas terhadap seorang guru besar yang didakwa terlibat dalam salah laku menghantar mesej berbaur romantik kepada murid bawah umur.
Aktivis Sosial SBKN, Dato’ Dr Kalaivanar mendedahkan bahawa insiden membimbangkan itu dipercayai berlaku di sebuah sekolah di kawasan Perak Hilir, membabitkan mesej ucapan “I love you” daripada seorang pentadbir sekolah kepada seorang pelajar yang dipercayai berada di tingkatan tiga.
Beliau menegaskan, sekolah sepatutnya menjadi institusi yang selamat di mana ibu bapa meletakkan kepercayaan penuh kepada guru dan guru besar untuk menjaga keselamatan serta kebajikan anak-anak mereka.
Menurut beliau, tindakan guru besar terbabit jelas tidak wajar kerana melibatkan remaja bawah umur yang masih belum matang, sekali gus boleh diklasifikasikan sebagai pelanggaran undang-undang yang amat serius.
Dr Kalaivanar mendesak agar pihak berkuasa membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 15 dan Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau turut mempersoalkan mengapa individu berkenaan masih belum ditahan reman untuk siasatan lanjut, sedangkan laporan dan bukti melibatkan mesej komunikasi telah timbul.
Dalam kenyataannya, beliau meminta campur tangan Ahli Parlimen kawasan berkenaan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, agar bersikap tegas dalam memastikan integriti penjawat awam berpangkat tinggi sentiasa terpelihara.
Beliau turut menyeru Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya tidak berdiam diri atau bersikap membela salah laku pentadbir sekolah semata-mata kerana kedudukan mereka.
Selain tindakan undang-undang, Dr Kalaivanar mencadangkan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil memberikan sokongan serta sesi kaunseling profesional kepada mangsa yang terkesan.
Mengulas mengenai video tular yang memaparkan tindakan seorang ibu bersemuka dan menampar individu terbabit, beliau menyatakan kemarahan ibu bapa itu berpunca daripada tindakan melampau pihak sekolah yang mencabar batas moral.
Tegas beliau, isu moral dan jenayah seperti ini tidak boleh dilihat berasaskan kaum, agama mahupun pangkat kerana perbuatan salah tetap salah di sisi undang-undang.
SBKN menegaskan pihaknya tidak akan berganjak dalam menyuarakan keadilan buat mangsa dan memastikan insiden seumpama ini dijadikan pengajaran keras kepada seluruh warga pendidik.
#BeritaAAC #KeadilanUntukMurid #KPM #PDRM #LindungiKanakKanak