KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Keadilan Wangsa Maju, Lai Chen Heng memaklumkan pihaknya enggan memanjangkan isu banting miliknya disimbah cat merah, baru-baru ini.
Chen Heng berkata, berada dalam arena politik adalah perkara biasa jika perlu melalui situasi sedemikian.
“Biar polis yang membuat siasatan, saya serahkan kepada mereka untuk menyiasat.
“Sebelum ini kita juga sudah beri amaran kepada mereka yang melakukan perkara itu dan berharap kejadian ini tidak berulang lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina 2024, baru-baru ini.
Terdahulu, media melaporkan Chen Heng meluahkan kekesalan apabila empat banting parti yang dipasang sekitar Wangsa Maju disabotaj dan dirosakkan dalam tempoh setahun.
Menurutnya, dua banting ucapan Tahun Baharu 2023 dan Hari Malaysia yang dipasang pada Januari dan September tahun lalu telah dikoyakkan.
Malah dua lagi banting sempena Hari Krismas dan Tahun Baharu 2024 pula di lempar cat merah dalam tempoh seminggu.
Sementara itu, berkongsi mengenai sambutan Tahun Baru Cina 2024 yang diadakan, Chen Heng berkata, pihaknya memilih lokasi di Pasar Pagi Prima Setapak kerana tempat itu mempunyai nilai sentimental yang tinggi buat dirinya.
“Pasar ini adalah projek besar pertama yang saya uruskan bersama mantan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew.
“Pelbagai cabaran dihadapi sepanjang ia dibina sehinggalah beroperasi dan tempat ini menjadi tempat masyarakat berkumpul dan berkongsi informasi sejak turun temurun.
“Dengan sambutan yang diadakan ini saya mengumpul kira-kira 2,000 penduduk tidak kira bangsa dan agama untuk sama-sama meraikan sambutan Tahun Baru Cina 2024,” katanya.