Oleh: Muhammad Fazreen Johari
Exco Pergerakan Wira PUTRA Malaysia merangkap Ketua Wira PUTRA Pulau Pinang

GTA dikatakan lemah hanya berdasarkan fakta kononnya komposisi dikalangan parti tidak popular, sokongan yang masih kecil dan keputusan Pilihanraya Negeri Johor dan Melaka baru-baru ini.

Tetapi ramai yang lupa gabungan pemimpin seperti Datuk Ibrahim Ali, Presiden Parti PUTRA yang di dalamnya, yang ada cukup pengalaman dalam menumbangkan kerajaan Kelantan 2 kali sepanjang penyertaan beliau melalui parti kecil dan baru iaitu Berjasa dan Semangat 46 satu masa dahulu amat berguna dalam gabungan ini. Dan ia memberi kelebihan kepada GTA untuk terus lantang dan berani bersuara bagi orang Melayu dan Pribumi.

Kerjasama politik kali ini di antara parti PUTRA, Pejuang, Berjasa dan Iman yang di pimpin oleh Tun Dr. Mahathir sebenarnya bakal menjadi mimpi ngeri kepada pemimpin politik dan kerajaan yang telah menggadai tanah air ini demi kepentingan mereka. Kebajikan dan kemiskinan orang Melayu dipandang remeh. Masalah ini disembunyi dan dielakkan daripada disedari oleh orang Melayu agar pemimpin politik yang korup ini boleh mencucuk hidung rakyat dan rakyat terus mengikut kata mereka walaupun mereka telah mengkhianati agama, bangsa dan tanah airnya secara halus.

Kekuatan parti Melayu di dalam kerajaan sama ada yang lama atau parti serpihan UMNO bukan halangan atau ancaman besar pada masa ini. Selepas PRU15 ini juga dijangka tiada lagi parti yang dominan untuk mentadbir negara. PN semasa di PRN Johor juga tidak mendapat keputusan yang terlalu baik, jika tidak kerana memperoleh undi dari penyokong PAS sedia ada dan sebahagian kecil penyokong Bersatu. Begitu juga purata undi yang menurun pada PRN lalu bagi setiap parti yang lama menunjukkan bahawa rakyat sudah pun mula hilang kepercayaan dan bersedia untuk buat perubahan.

GTA merupakan pilihan baru dan alternatif kepada semua orang-orang Melayu yang mempunyai kesedaran dan ragu akan masa depan negara dengan keangkuhan kepimpinan politik hingga kedudukan orang Melayu menjadi tersasar dan tergolong dalam kumpulan mudah miskin yang berpanjangan. Wira PUTRA menjemput seluruh rakyat Malaysia sama ada partisan atau bukan partisan untuk bersama menyokong perjuangan ini untuk masa depan orang Melayu yang lebih baik dan terjamin.

Leave a Reply