PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan akan melakukan yang terbaik dalam melindungi kebajikan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia khususnya melibatkan industri pengangkutan dan logistik termasuk
mereka dalam sektor ekonomi gig yang semakin berkembang di Malaysia.

Justeru, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2022 telah bersetuju supaya Kerajaan melalui MOT dan agensi-agensi di bawahnya iaitu Agensi Pengangkutan
Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Negeri Sabah dan Negeri Sarawak untuk turut mengawalselia perkhidmatan kenderaan
barangan yang disediakan oleh suatu perniagaan penghantaran, terutamanya yang menggunakan motosikal (perkhidmatan p-hailing).

Selain bagi memastikan sektor perkhidmatan ini berdaya saing dan kompetitif untuk tempoh masa panjang, pengawalseliaan juga bertujuan menjaga kebajikan penunggang atau pemandu kenderaan yang terlibat. Antara lain, syarat-syarat pengawalseliaan seperti keperluan mempunyai perlindungan insurans (bagi
penunggang/pemandu), kawalan kepada tahap pengoperasian, syarat pelesenan,
kawalan tahap keselamatan kenderaan dan kawalan kompetensi penunggang/pemandu akan ditetapkan.

Bagi tujuan pengawalseliaan dan penetapan peraturan terlibat, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya pindaan dilaksanakan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].

Pindaan ini juga mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan. Hari ini, saya turut mengadakan sesi dialog bersama Persatuan Penghantar P-Haling Malaysia (PENGHANTAR), penunggang p-hailing daripada pelbagai syarikat dan juga wakil vendor, Malaysia Food Delivery Association.

Beberapa wakil pergerakan Gabungan e-hailing Malaysia iaitu Persatuan Kebajikan Pekerja Industri e-hailing Malaysia; Grab Drivers Malaysia Association; Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotorsikal Perak (PKPPBP); Koperasi Jurupandu Teksiku Berhad; Indian e-hailing Drivers Malaysia; Asean Youth Leadership Forum; pemandu e-hailing termasuk di kalangan wanita turut bersama dalam sesi dialog ini.

Sebagaimana kenyataan media Menteri Pengangkutan bertarikh 19 Jun 2022 yang lalu, pindaan yang dicadangkan antara lain bertujuan mewujudkan punca kuasa bagi mengawalselia dan menetapkan peraturan pelesenan bagi perkhidmatan berkenaan di bawah Akta 334 dan Akta 715 serta memastikan terdapatnya perlindungan insurans kepada penunggang/pemandu yang terlibat. Selain itu, pindaan juga akan meminda had umur penunggang p-hailing (motosikal penghantaran barangan) kepada tidak kurang dari 18 tahun (berbanding 21 tahun) bagi mendapatkan suatu Lesen Vokasional. Pindaan had umur ini akan membolehkan Keluarga Malaysia bekerja sebagai seorang penunggang motosikal p-hailing apabila telah mempunyai Lesen Memandu Kompeten dalam kelas motosikal dan seterusnya mendapatkan Lesen Vokasional bagi tujuan tersebut.

Ketetapan ini seterusnya akan membuka peluang kepada lebih ramai menyertai sektor ekonomi gig untuk menjana pendapatan menerusi perkhidmatan p-hailing dan lain-lain platform perkhidmatan penghantaran.

Ketiga-tiga Rang Undang-Undang bagi meminda akta terbabit akan dibentangkan untuk perbahasan dan kelulusan Parlimen di dalam sesi akan datang.

Leave a Reply