BAYAN LEPAS, 10 Mac 2024 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), hari ini menganjurkan siri ke empat program Jelajah Saya Digital (JSD) bagi tahun 2024 bertempat di Kompleks Bukit Jambul, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

JSD @ Pulau Pinang diadakan dengan membawa aktiviti seperti bengkel pengisian literasi digital dan keusahawanan serta terdapat juga pertandingan ‘eSport’, kaunter fizikal pendaftaran PADU dan pameran dari agensi-agensi kerajaan yang mengenengahkan aspek pendigitalan.

JSD dibawa ke Pulau Pinang bagi mewujudkan kesedaran rakyat tentang kepentingan teknologi digital dan penyelesaian gaya hidup pintar dengan memberi peluang sama rata kepada rakyat di kawasan bandar tanpa meninggalkan penduduk luar bandar.

Program ini telah menjelajahi ke 55 lokasi dan berjaya melatih seramai 20,894 orang peserta dari seluruh negara, sejak diperkenalkan pada 2021. Bagi tahun 2024 ini juga MDEC menyasarkan seramai 40,000 peserta untuk menyertai program JSD di 31 lokasi.

Acara JSD @ Pulau Pinang telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang.

Turut hadir Yang Berhormat Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong, Timbalan Menteri Digital dan Yang Berhormat Tuan Syed
Ibrahim Syed Noh, Pengerusi MDEC.

Program Jelajah ini dimeriahkan dengan lebih 20 pameran daripada agensi kewangan dan usahawan program MDEC. Acara ini dijangka akan dihadiri oleh lebih 1,000 orang penduduk sekitar, pelajar IPT, dan pelatih institusi kemahiran.

“Seiring dengan visi Malaysia MADANI di mana keterangkuman dan kesaksamaan
menjadi teras utamanya, MDEC akan terus melaksanakan program-program seperti ini agar kemakmuran dan peluang yang dicipta dapat dimanfaatkan oleh lapisan masyarakat,” kata YB Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi MDEC.

JSD adalah sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu, Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance, dan Saya Digital Kerjaya yang memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu B40, graduan menganggur, warga emas, orang kelainan upaya, pelajar sekolah, serta universiti termasuk usahawan mikro, kecil, dan sederhana. Melalui JSD @ Pulau Pinang, MDEC membawa program eUsahawan, Global Online Workforce (GLOW), eRezeki, 100 Go Digital dan #mydigitalmaker bertujuan bagi meningkatkan keupayaan usahawan dalam menggunapakai teknologi digital, meningkatkan hasil jualan serta
menggalakkan penjanaan pendapatan.

Program Jelajah Saya Digital merupakan platform terbaik untuk memperkukuhkan kemahiran digital di kalangan rakyat, termasuk usahawan, dengan mengambil peluang yang ada supaya Rakyat dapat memainkan peranan penting dalam
perkembangan ekonomi digital negara.

Rakan-rakan strategik MDEC untuk JSD iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pangkalan Data Utama (PADU), TM-Unifi Business dan TikTok Shop turut mengadakan sesi perkongsian dalam acara ini.

Untuk maklumat lanjut dan untuk menyertai siri Jelajah Saya Digital, sila layari https://mdec.my/sayadigital .

Leave a Reply