KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diseru untuk lebih ramai lagi menderma organ terutamanya jantung, buah pinggang dan pankreas bagi memastikan kejayaan pemindahan organ di negara ini.
Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seramai 382,020 rakyat Malaysia telah berikrar untuk menderma organ sejak 1997, tetapi hanya 0.02 peratus yang menderma organ mereka.
“Dalam usaha mengelakkan perkara ini, perlu ada kerjasama antara semua pihak untuk memastikan kejayaan pemindahan organ.
“Perubahan daripada segi dasar perlu dilakukan bagi menggalakkan pendermaan organ di kalangan rakyat Malaysia.
“Salah satu pilihan yang kita boleh lakukan adalah meminta rakyat Malaysia menarik diri atau ‘opt out’ daripada menjadi penderma, berbanding meminta rakyat daripada mendaftar secara sukarela.
“Jika kita tidak mampu meningkatkan jumlah pendermaan organ, bagaimana kita hendak menjalankan pemindahan?. Ramai rakyat Malaysia yang sangat mengharapkan organ,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia perlu mencontohi Turki iaitu salah satu daripada negara Islam yang berjaya melaksanakan sebanyak 768 pendermaan organ di 15 pusat jantung di negara itu dari tahun 2008 hingga 2020.
“Di sana, pengurusan sangat baik. Ramai pakar dari negara kita dihantar ke sana untuk belajar lebih lanjut mengenai perkara ini.
“Amatlah rugi jika kita ada kepakaran, namun tidak ada organ yang diterima. Walaupun ada yang sudah berikrar, apabila sampai masanya, keluarga tidak memberi kebenaran,” katanya pada sidang media IJN menyambut kejayaan dua pemindahan jantung, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IJN, Datuk Dr Aizal Azan Abdul Rahim, berkata masalah kekurangan penderma bukan sahaja dihadapi oleh IJN tetapi juga dihadapi di seluruh dunia.
“Kepentingan penderma organ ini dapat memberikan peluang kedua kepada pesakit untuk terus hidup. Peluang kedua ini sukar untuk didapati.
“Dari segi rawatan, teknologi sudah berubah. Rawatan bertambah baik, berbanding 30 tahun lalu. Jumlah pesakit juga semakin lama semakin kurang.
“Sekarang ada teknologi peranti capaian vaskular implan (IVAD) sebesar tapak tangan sahaja. Ia lebih efektif berbanding alat yang digunakan dulu yang sebesar peti sejuk.
“Di negara barat mereka gunakan alat ini sebagai pengganti pemindahan jantung untuk membantu pesakit tahap akhir kegagalan jantung. Mereka dapat hidup lebih lama dengan mengurangkan gejala lemah jantung,” katanya.
Sementara itu, penerima jantung, Muhammad Farhan Irfan Mohd Razif, 20, berkata dia mula menghidap masalah jantung sejak empat tahun lalu.
“Waktu itu saya perlu mengambil pelbagai jenis ubat dan perlu berjumpa dengan ramai doktor setiap hari. Saya diminta untuk ke IJN bagi mendapatkan rawatan lebih lanjut. Sekarang kesihatan saya sudah lebih baik.
“Saya perlu kuatkan semangat untuk kembali sihat. Tidak dinafikan sebelum ini saya cepat penat dan letih. Sejak menerima jantung baharu setakat ini saya tidak mempunyai masalah untuk berjalan jauh,” katanya.
Seorang lagi penerima jantung, Danielle Kang Yu Xin berkata, dia sangat bersyukur dengan peluang menjalani pemindahan jantung ini.
“Saya sangat bertuah kerana ada penderma yang mendermakan jantung dalam masa empat hari. Ia seperti satu keajaiban buat saya,” katanya.
Untuk info, IJN setakat ini telah berjaya menjalankan 29 pemindahan jantung, enam pemindahan paru-paru, enam pemindahan jantung-paru-paru, 36 pemindahan LVAD dan tujuh prosedur pemindahan LVAD kepada jantung. – maxinfo.com –