KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melanjutkan tempoh tarikh tamat visa dengan rujukan (VDR) yang sepatutnya tamat 31 Mac depan sehingga enam bulan lagi.
Gesaan itu dibuat Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan gabungan persatuan perniagaan dan industri di negara ini semalam.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, tempoh lanjutan itu perlu kerana proses pengambilan pekerja asing adalah rumit dan memerlukan masa.
“Pembatalan kuota pekerja asing kepada majikan yang tidak memohon VDR sebelum 31 Mac 2024 telah mencetuskan kebimbangan dan keresahan ahli-ahli kami.
“Pengumuman Jabatan Imigresen yang dikeluarkan pada 1 Mac 2024 menyukarkan ramai majikan untuk mencari pekerja asing yang sesuai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PRESMA.
Hadir sama, wakil dari Gabungan Persatuan Perniagaan, Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia.
Pada 1 Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan bahawa kuota yang tidak digunakan untuk mengambil pekerja asing akan dibatalkan pada 1 Jun.
Kuota aktif untuk mengambil pekerja asing, yang mana levi sudah dibayar tetapi VDR belum dikeluarkan pada akhir Mac juga akan dibatalkan.
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) Datuk Abdul Malik Abdullah yang turut hadir juga memohon pertimbangan kerajaan bagi membantu mempermudahkan urusan majikan dalam menguruskan kemasukan pekerja asing.
Beliau berkata untuk membawa masuk pekerja asing bukan senang kerana majikan kena cari yang ada kelayakan.
“Kadang kena pergi ke negara pekerja, kalau kelam kabut, yang tak perlu dan bukan sepatutnya akan dibawa masuk.
“Jadi mewakili persatuan dan gabungan perniagaan, saya minta kerajaan lanjutkan tarikh tamat tempoh kerana masa diberi singkat dan sangat suntuk,” katanya.