KUALA LUMPUR – Seramai 5,000 anak Pahang di rantau menerima baucar petrol sempena Program Nak Balik Beraya ke Pahang yang diadakan buat pertama kali tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata program itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan sehingga 22,000 anak Pahang memohon baucar tersebut.

Beliau berkata pada awalnya program di bawah Sekretariat Perantau Anak Pahang itu memilih 1,000 terawal yang mendaftar.

Bagaimanapun, kerana sambutan amat menggalakkan, beliau telah menambah 4,000 lagi pemohon dan akan diberikan baucar tersebut sebelum sambutan Aidilfitri.

“Saya telah umumkan tambahan lagi 4,000 baucar minyak petrol/diesel berbanding 1,000 baucar yang telah diluluskan sebelum ini.

“Pihak Jawatankuasa Sekretariat akan menguruskan pemberian baucar kepada semua penerima. Kita akan pastikan (bagi baucar) akan diselesaikan sebelum raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Baucar Nak Balik Beraya Ke Pahang di Stadium Titiwangsa.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaakob, Pengarah Sekretariat Mahasiswa Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, barisan Exco dan kepimpinan di pelbagai peringkat.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata program itu akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

Beliau turut gembira kerana dapat bertemu dan beramah mesra bersama anak-anak Pahang yang meluangkan masa untuk hadir dan berkumpul lokasi program.

“Kita juga telah maklum lepas ni nak buat jamuan raya, satu buat dengan mahasiswa, satu lagi dengan anak-anak rantau pada masa dan lokasi yang bakal diumumkan kelak.

“Saya berharap menerusi program yang diselaraskan oleh Sekretariat Perantau Anak Pahang ini, hubungan anak-anak Pahang di perantauan dengan Kerajaan Negeri akan bertambah erat dan juga kukuh,” katanya.

Leave a Reply