HULU SELANGOR – Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa pengundi di DUN Kuala Kubu Baharu perlu memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao.
Beliau berkata langkah itu demi kesinambungan pembangunan di kawasan itu.
Jelasnya lagi, memilih calon yang sealiran dengan kerajaan negeri dan kerajaan pusat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini akan membolehkan taraf hidup penduduk setempat dapat terus ditingkatkan.
“Saya nak semua bagi sokongan kepada Pang demi kesinambungan khidmat yang dicurahkan mendiang Lee (Kee Hiong).
“Saya kenal Lee dan tahu bagaimana dia memberi khidmat dan sekarang ini kita ada anak muda untuk digantikan, untuk memberi khidmat,” katanya pada sidang medianya.
Turut hadir Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Pemangku Ketua Wanita DAP Selangor yang juga Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin dan Pang.