SELANGOR, 29 APRIL 2024 – Hari ini saya telah melancarkanı Kempen Kasih Sayang Ibu dan Si Manja 2024 di bawah inisiatif Program Jualan Ihsan RAHMAH (PJIR) bertempat di MYDIN USJ, Subang Jaya, Selangor.

Kempen Kasih Sayang Ibu dan Si Manja 2024 dianjurkan oleh Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) dilaksanakan secara kerjasama strategik bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan para ibu bapa dan penjaga melalui penawaran jualan barangan bayi dan kanak-kanak pada harga yang lebih rendah dan berpatutan. Ini adalah selari dengan pendekatan Kementerian melalui whole of nation approach dalam menangani kos sara hidup rakyat dalam meningkatkan keterangkuman penglibatan pelbagai pihak sekali gus memanfaatkan lebih ramai pengguna.

Kempen ini bermula pada 29 April sehingga 30 Mei 2024 dan pengguna akan ditawarkan dengan penjimatan diskaun, rebat dan hadiah percuma berjumlah sehingga RM800,000.00. Antara barangan keperluan bayi dan kanak-kanak yang ditawarkan antaranya susu tepung, lampin pakai buang, set pakaian bayi dan kanak-kanak serta pelbagai barangan lain bagi jenama seperti Abbott Cearrie Junior, Diepex, Dryfirst, Drypers, Dugro, Farm Fresh, Fernleaf, Gnubkins, Huggies, Johnson & Johnson, Milna, Molfix, Nestle dan Pureen.

Kempen penjimatan ini merupakan komitmen MYDIN dengan kerjasama peberapa jenama besar dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup dan perbelanjaan golongan ibu bapa serta penjaga terutamanya pada pasca sambutan Aidilfitri dan pembukaan sesi baru persekolahan. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenal kempen ini, pengguna boleh melayari media sosial dan laman sesawang rasmi MYDIN Malaysia di www.mydin.my

PJIR merupakan salah satu inisiatif baharu KPDN bermula tahun 2024 di bawah Agenda Payung RAHMAH MADANI dalam menggalakkan penyertaan aktif pihak swasta dan industri khususnya di bawah sektor peruncitan ke arah menawarkan harga barangan keperluan dengan harga yang lebih berpatutan tanpa melibatkan sebarang peruntukan khusus daripada Kerajaan (private- driven initiative). PJIR ini telah mula dilaksanakan pada 23 Januari 2024 dan sehingga 25 April 2024 sebanyak 40 pemain industri dalam sektor peruncitan telah melaksanakan PJIR di 2,770 lokasi di seluruh negara.

Di bawah PJIR ini juga, pengguna dapat berbelanja barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan, di samping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga-peniaga. Inisiatif Payung RAHMAH MADANI adalah manifestasi keprihatinan dan konsep IHSAN Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik daripada pemain industri.

KPDN terus komited dan sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh pihak swasta dan industri terutamanya sektor peruncitan di negara ini untuk menyantuni rakyat tempatan dalam membantu menangani isu kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

KPDN berharap agar usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya kepada pengguna yang berhasrat mendapatkan barangan bayi dan kanak-kanak yang berkualiti dengan harga yang murah serta berpatutan. Sokongan dan penglibatan lebih ramai pemain industri untuk terlibat dalam kempen ini amatlah digalakkan.

Leave a Reply