Oleh – Shahbudin Embun

Sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke 78 kali ini diadakan di seluruh Negara dan Amanat Presiden telah disampaikan selepas Maghrib pada 11 Mei 2024 di Dewan Tun Hussein Onn Aras 2 WTCKL.

Dalam perutusan melalui Facebook Presiden telah menekankan bahawa selepas hampir lapan dekad usianya, tentu sekali UMNO telah melalui pelbagai fasa dalam memastikan kelangsungannya dan ingatan serta doa semoga UMNO kembali menjadi sebuah parti Melayu yang kuat untuk terus membawa harapan pada Agama Bangsa Dan Tanah Air.

Dalam dunia politik, tahun 2023 menyaksikan pelbagai peristiwa signifikan yang berlaku. Dan antara topik yang masih menjadi topik hangat pada tahun 2024 ialah adakah UMNO masih lagi relevan!

Ramai pemerhati politik menegaskan yang kedudukan UMNO hari ini berada di tahap yang paling merudum. UMNO memerlukan masa untuk kembali bangkit setelah mengalami beberapa kekecewaan yang berlarutan.

Sebenarnya perkara ini bukanlah sesuatu yang baru diramalkan. Mungkin ada yang masih ingat penulisan wartawan dan penulis , Pak Husin Yaakob atau dikenali dengan nama penanya Ibnu Muslim , yang pernah menjadi wartawan di Utusan Melayu dan mencipta nama di hujung kerjayanya sebagai kolumnis di Harakah.

Pak Husin telah menulis sebuah buku yang bertajuk BN Akan Berkubur semasa gerakan Reformasi berada di zaman kemuncak pada tahun 1998 dan 1999.

Saya bernasib baik dapat mengenali Pak Husin yang ketika itu turut juga bersama dengan Arwah Saeden Wateh @Pak Din Gayung( Reformasi), seorang lagi aktivis tegar Reformasi .

Pada masa itu juga, saya amat rapat dengan arwah Datuk Seri Salahudin Ayub yang merupakan seorang sahabat yang sangat baik dan sentiasa membantu mereka yang memerlukan.

Saya tidak akan melupakan jasa baik arwah yang melawat saya ketika saya diserang minor stroke beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia.

Berbalik kepada pengalaman bersama dengan Pak Husin, saya masih ingat lagi kami berada di tengah tengah lautan manusia semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI)berucap di Masjid Negara ketika bermulanya pergerakan Reformasi.

Menurut Pak Husin, dalam sejarah hidupnya yang penuh dengan pelbagai pengalaman, beliau tidak pernah melihat lautan manusia yang dianggarkan lebih 250 ribu berkumpul di Kuala Lumpur ketika itu.

Apa yang disaksikan oleh Pak Husin menambahkan keyakinan beliau bahawa UMNO dan BN akan berdepan dengan gerakan rakyat yang sangat berkuasa dan mampu mengubah sejarah.

Kami juga dapat melihat sendiri bagaimana rakyat yang berada di Masjid Negara ketika itu, terpegun dengan kehebatan DSAI menaikkan semangat melalui laungan reformasinya.

Tidak dapat dibayangkan betapa gembiranya Pak Husin dan Pak Din sekiranya mereka berpeluang dapat melihat DSAI akhirnya diberi kepercayaan memimpin negara sebagai Perdana Menteri yang ke 10.

Sebagaimana yang dimaklumkan , Pak Husin telah menulis buku yang bertajuk BN Akan Berkubur. Kami sempat memberikan buku itu kepada DSAI, yang ketika itu baru keluar dari penjara.

Ketika buku itu ditulis, UMNO dan BN masih berada di puncak kejayaan dan pastinya tidak ramai yang percaya bahawa satu hari nanti kedudukan UMNO dan BN akan tergugat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, pada masa itu, ianya adalah sesuatu yang mustahil untuk melihat UMNO dan BN jatuh.

Namun sejarah telah membuktikan sebaliknya. Tidak cukup dengan itu, terdapat pula usaha usaha untuk terus mengharamkan UMNO.

UMNO benar benar berada di hujung tanduk, apabila dipercayai, surat untuk membatalkan UMNO ketika itu sudah berada di atas meja Menteri Dalam Negeri yang ketika itu diterajui oleh Tan Sri Mahiadin Yasin.

Mujurlah ada tangan ghaib yang bertindak pantas sebelum UMNO dilenyapkan dari persada politik tanahair.

Bahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah mendedahkan semasa Perhimpuan Agung UMNO bahawa cubaan untuk mengharamkan parti itu tidak menjadi kenyataan kerana ‘diselamatkan’ oleh seseorang.

Pada hari ini kita sedia maklum, bahawa DSAI merupakan “seseorang“ yang dimaksudkan itu.

Dan hari ini UMNO berdepan dengan satu cabaran yang sangat besar. Jika tidak ada usaha konkrit yang dilakukan, maka benarlah seperti yang diramalkan oleh kebanyakan pemerhati politik, bahawa UMNO akan berkubur dan menemui peperangan Waterloo nya pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Itu sebabnya apa yang disarankan oleh DSAI perlu diberikan perhatian yang sangat serius oleh semua ahli UMNO.

DSAI telah menasihati UMNO untuk kerap turun padang bertemu dengan ahli akar umbi dan rakyat untuk memberi penjelasan tentang pelbagai isu khasnya mengenai hubungan baik dengan DAP.Dengan penjelasan yang lengkap, UMNO mampu memulihkan parti itu daripada terus merosot.

Perlu diingatkan juga bahawa PRU ke-16 semakin hampir dan kerja turun padang tidak boleh ditangguh lagi dan perlu dibuat segera supaya UMNO terus relevan.

Inilah masanya untuk cawangan dan bahagian UMNO yang kecundang dengan pukulan KO untuk bangkit dan menawan semula hati orang muda khasnya.

Saya ingin bertanyakan apakah program program yang sudah diatur untuk menambat semula hati rakyat pada UMNO?

Jangan ditunggu apabila adanya pilihan raya, baru hendak sibuk membuat forum , konvensyen serta pelbagai program lain. Mungkin ketika itu sudah terlambat.

Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan usaha musuh yang terus berusaha untuk melenyapkan UMNO.

Salah seorang pemimpin BERSATU pernah menegaskan bahawa objektif penubuhan Bersatu untuk menggantikan UMNO tercapai, selepas memperoleh kemenangan 70 daripada 112 kerusi majoriti Melayu pada PRU15 yang lalu.

Kini masanya untuk UMNO bertindak.

Shahbudin Embun Penganalisis politik.

Leave a Reply