TEMERLOH 16 Mei 2024 – Bersempena memperkasakan bidang Alam Bina bagi program pengajian Asasi Teknologi Kejuruteraan di Politeknik di bawah bidang Kejuruteraan Awam & Alam Bina, Bahagian Kurikulum Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti dengan kerjasama Kolej Komuniti Temerloh menganjurkan Projek Alam Bina Tahun 2024 (ProAlBi 2024) bermula 14 Mei hingga 16 Mei 2024 dengan tema “Kelestarian Alam Bina”.
ProAlbi 2024 kali ini meneroka ke segmen baru dengan melibatkan kolaborasi antarabangsa daripada institusi Kolok Industrial and Community Education College, Thailand.
Pengisian projek ini telah membuka tirainya pada 14 Mei 2024 dengan kehadiran pasukan sebanyak 40 pasukan dan 75 peserta dari seluruh Malaysia termasuklah institusi Kolok Industrial and Community Education College, Thailand.
Matlamat utama penganjuran ProAIBi 2024 adalah sebagai pendedahan dan penglibatan pelajar dalam program berskala besar selari dengan Lonjakan 4 PPPM-PT yang berhasrat menghasilkan graduan TVET berkualiti.
Selain daripada peningkatan kebolehpasaran graduan bidang Kejuruteraan Awam & Alam Bina, projek ini juga berupaya memberi nilai tambah dan pendedahan teknologi terkini dalam industri pembinaan di Malaysia.
ProAIBi adalah platform yang mempamerkan produk inovasi pelajar Unit Kejuruteraan Awam dan Alam Bina sepanjang tempoh pengajian di institusi masing-masing. Setiap projek akan dinilai dan diuji dari pelbagai aspek.
Lebih menarik lagi, seramai enam panel yang berpengalaman telah dilantik sebagai juri pertandingan untuk setiap projek pelajar.
Kemuncak ProAIBi 2024 ialah ucapan penggulungan Ketua Juri Ybrs. LAr. Haji Mohd Yusri bin Othman (AMP), Pengarah Jabatan Landskap Majlis Perbandaran Temerloh.
Beliau menyatakan semua projek pelajar adalah projek yang memberi impak dan menunjukkan kefahaman serta minat yang mendalam dalam bidang Alam Bina.
Beliau berharap projek seperti ini diteruskan kerana menjadi platform yang kukuh untuk menghasilkan graduan TVET yang holistik[a1].
ProAIBi 2024 melabuhkan tirai dengan Majlis Perasmian Penutup daripada Ybrs. Ts. Haji Kamaludin bin Daud, Timbalan Ketua Pengarah (Governan) JPPKK dimana juaranya dimenangi oleh pasukan dari Kolej Komuniti Selandar dengan tajuk projek adalah “Bridge Vibes” dengan membawa pulang piala dan sijil pemenang.
Adalah menjadi harapan JPPKK untuk terus menghasilkan graduan TVET yang holistik untuk menjadi tunjang industri pembinaan dan pelapis negara dan serta meletakkan JPPKK sebagai institusi TVET terkemuka selaras dengan hala tuju Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dan melahirkan rakyat yang berdaya saing.