
KUALA LUMPUR, 29 April 2025 – Ketua Penerangan PUTRA Shahrulufti Sharif, menegaskan bahawa Presiden PUTRA Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali merupakan figura penting dalam sejarah perjuangan Melayu, Bumiputera, dan Islam di Malaysia. Sebagai pemimpin yang konsisten, beliau tidak sepatutnya dinilai semata-mata berdasarkan kritikan, tetapi melalui sumbangan besarnya dalam mempertahankan hak-hak bangsa dan agama.
Shahrulufti menekankan bahawa Dato’ Ibrahim Ali telah membuktikan komitmennya melalui pelbagai peranan, termasuk memimpin PERKASA dan menubuhkan PUTRA. “Beliau adalah tokoh bebas daripada sifat hipokrit dan munafik,” tegasnya sambil mempersoalkan sumbangan sebenar mereka yang hanya gemar mengkritik tanpa memberikan solusi.

Dato’ Ibrahim Ali mempunyai rekod perjuangan yang kukuh, termasuk melalui tahanan ISA sebanyak dua kali, memperjuangkan isu Baling, tuntutan ITM ke taraf universiti, serta isu Ketuanan Melayu sejak 1978. “Ini semua membuktikan keteguhan dan keberanian beliau,” tambah Shahrulufti.
Penglibatan beliau dalam UMNO sebagai Ketua Bahagian Pasir Mas selama 12 tahun, Exco Pemuda UMNO Malaysia, dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut disebut sebagai bukti kepimpinan berwibawa. Selain itu, beliau mengasaskan Yayasan Budiman UITM dan PERKASA sebelum menubuhkan PUTRA pada 2019, yang kini mempunyai 47,000 ahli.
Di peringkat antarabangsa, Dato’ Ibrahim Ali dikenali sebagai tokoh yang berjaringan luas, pernah berinteraksi dengan pemimpin dunia seperti Imam Khomeini dan Fidel Castro. Sumbangannya dalam pembangunan Kelantan turut tidak boleh dipandang remeh.
Shahrulufti juga menegaskan bahawa pengalaman Dato’ Ibrahim Ali sebagai Ahli Parlimen tiga penggal, Ahli Dewan Negara, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) menjadikannya figura yang layak dijadikan rujukan. “Beliau bukan calang-calang pemimpin; pengalaman dan integritinya tidak boleh dipertikaikan,” ujarnya.
Oleh itu, Dato’ Ibrahim Ali tetap relevan dalam menghadapi cabaran semasa. “Beliau adalah permata perjuangan yang kekal bersih dan berintegriti, berani berkorban untuk Islam, bangsa, dan negara,” tegas Shahrulufti.