KUALA LUMPUR – Jenama produk makanan kesihatan tambahan popular K-Colly bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap dua individu yang didakwa telah memfitnah produk mereka pada bulan lalu di laman sosial TikTok dan Facebook.

Tuduhan fitnah yang dilemparkan itu mendakwa produk K-Colly  menjejaskan kesihatan sehingga buah pinggang mengecut dan telah dimuat naik dalam sebuah video yang telah viral di TikTok, selain komen berunsur fitnah di Facebook.

Mewakili K-Colly, peguam Azreen Azmi daripada Tetuan Adnan Sharida & Associates berkata, reputasi bersih yang dibina K-Colly selama 13 tahun telah tercalar dengan tuduhan tidak berasas itu dan syarikat ini mengalami kerugian kerana jualan terjejas.

“Pihak K-Colly telah pun membuat dua laporan polis di Balai Polis Pokok Sena, Kota Setar, Kedah dan perkara ini masih dalam siasatan pihak polis.

“Bagi pihak K-Colly kami mahukan permohonan maaf daripada dua individu terbabit dan tuntutan ganti rugi.

“Jika mereka tidak memberikan kerjasama, pihak K-Colly akan mengeluarkan surat tuntutan (letter of demand) dan akan memfailkan saman seterusnya membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Azreen turut memberi amaran kepada netizen agar berfikir panjang sebelum membuat sebarang tuduhan dan komen di platform media sosial.

“Andai tuduhan yang dibuat adalah fitnah sehingga menjejaskan reputasi jenama atau individu, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya pada sidang media berkenaan isu itu, semalam.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Pengurus Besar K-Colly; Mohd Zulkifli Hussain, Saintis Synamatix Sdn Bhd; Dr Mohd Redza Abd Rahman dan Konsultan dan Saintis Bio Teknologi Tumbuhan; Dr. Siti Latifah Abdul Kadir.

Sementara itu, Dr Mohd Redza Abd Rahman berkata, pihaknya menegaskan produk K-Colly telah menjalani pemeriksaan di makmal bertauliah dan telah melepasi ujian Sijil Analisis (COA) yang mengesahkan tiada pencemaran logam berat dan microbial (kuman).

“Produk K-Colly mengandungi bahan semula jadi yang telah menjalankan kajian dan tidak memberi impak kepada kesihatan terutamanya buah pinggang jika mengikut dos yang telah disarankan.

“Oleh itu, produk K-Colly selamat untuk dimakan oleh semua,” katanya.

Dr. Redza berkata, terdapat banyak faktor untuk mendapat masalah buah pinggang dan pihaknya sedar sebelum ini terdapat kes membabitkan masalah buah pinggang kerana penggunaan makanan tambahan tetapi bukanlah produk K-Colly.

 “Selama 13 tahun inilah kali pertama K-Colly menerima aduan dan viral seperti ini.

“Bagi tuduhan yang dibuat individu berkenaan yang mendakwa mengalami masalah buah pinggang tidak sampai seminggu menggunakan produk K-Colly secara asasnya apa yang diceritakan itu tidak menepati pola (pattern) pathophysiology pesakit kecuali dia mengambil racun. Tetapi dalam produk K-Colly tiada racun,” kata Dr. Redza.

Dalam pada itu, Dr. Siti Latifah Abdul Kadir turut mengesahkan bahan-bahan yang terkandung dalam produk K-Colly adalah selamat untuk digunakan.

By Cynthia

Leave a Reply