KUALA LUMPUR – Menguruskan kesihatan mental dan pengurusan diri bukan mudah, apatah lagi untuk orang lain.

Ramai yang kenal Siti Jamumall sebagai seorang pempengaruh, usahawan sensasi dan sering menerima kecaman di media sosial.

Di sebalik wajah ceria, kelincahan dan celotehnya, hanya segelintir yang tahu bahawa Siti Jamumall atau Siti Suriani Wahiddin, 24, menyimpan cerita melankoli seorang adik menjaga abangnya yang orang kelainan upaya (OKU) fizikal, sepenuh masa.

Satu video dimuatnaik Siti Jamumall memaparkan dia dan abangnya, Mohd Khairul Nizam, 34, dibantu beberapa individu lain, mengundang perasaan hiba warga maya.

Ibu tunggal kepada dua anak yang mesra dipanggil Siti itu bagaimanapun, turut menerima pujian.

“Sedih mendengar cerita di sebalik senyuman dan celoteh Siti. Semoga kuat menghadapi hari-hari mendatang.

“Bagi peluang Siti jaga abang lagi baik daripada hidup terseksa dengan suami yang tidak bertanggungjawab itu,” demikian komen seorang pengguna laman sosial.

Siti berkata, abangnya lahir secara OKU fizikal dan sudah tidak boleh berjalan ketika berumur 15 tahun.

Katanya, abangnya adalah insan yang memberi kekuatan dan contoh untuk menjadi insan yang terbaik, kepadanya.

“Di sebalik kehidupan dan keceriaan yang orang lihat pada saya selama ini, ramai tidak tahu saya mempunyai abang OKU.

“Dia adalah kekuatan saya. Kalau anda tanya kenapa saya boleh kuat berdepan macam-macam dugaan, semuanya kerana dia.

“Sejak tidak boleh berjalan, abang memang perlu diuruskan sepenuhnya. Pendek kata, kena ada yang bantu. Kalau nak tahu, dulu abang menjaga kami adik beradik ketika masih kecil, termasuk saya.

Justeru, Siti berjanji dengan dirinya untuk menjaga dan menguruskan abangnya sampai bila-bila, selagi dia masih hidup.

“Saya takkan tinggalkan dia, saya akan menjaganya sampai hujung nyawa saya. Sebab dia dah banyak tolong dan berikan semangat pada saya.

“Abang selalu cakap pada saya, selagi kita bernyawa apa pun yang berlaku kena teruskan kehidupan. Kita kena kuat menghadapi setiap apa yang Allah uji. Percayalah, lagi besar dugaan Allah bagi, lagi tinggi darjat Allah nak bagi pada kita.

“Sabar atau tidak saja. Kalau kita sabar, insya-Allah, kita akan dapat sesuatu dan nikmat yang tidak disangka-sangka pada masa hadapan. Sekarang ini, apa yang kita boleh buat adalah tawakal, reda dan teruskan usaha.

“Jangan pernah berhenti. Sebab, tidak ada orang lain yang boleh tolong kita melainkan diri sendiri,” katanya.

Terdahulu, Siti sekali lagi mencuri perhatian apabila mendedahkan pernah mendapat RM50 nafkah setahun ketika berkahwin dengan bekas suami.

Siti berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu menjadi punca dia nekad untuk bercerai tahun lalu.