AMPANG – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Sri Jamal Md Yunos hari ini dibebas dan dilepaskan atas pertuduhan mengeluarkan perkataan jelik terhadap Bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat dengan memuat naik video di laman Facebook miliknya pada dua tahun lalu.
Beliau sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 233 (3) akta sama yang mana beliau boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun ataupun kedua-duanya.
Keputusan itu dibuat setelah Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan terdapatnya “prima facie” terhadap Jamal di akhir kes.
Menurut Peguam mewakili Jamal, Mohd Hafizuddin Khan Norkhan berkata, pertuduhan ini adalah tidak sesuai serta ianya lebih bermotifkan ‘politik’.
“Saya bukan merompak, bukan menyamun mahupun rasuah, saya hanya menjalankan tanggungjawab demi kebaikan rakyat, katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Ampang disini hari ini.
Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali Raman menutup kesnya pada Julai lalu setelah mengemukakan tiga saksi sepanjang perbicaraan bermula pada Mei tahun lalu.
Ketika ditanya sama ada akan melakukan saman terhadap Bekas Ketua Polis Selangor itu, beliau bagaimanapun perlu berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan undang-undang susulan dari keputusan Mahkamah Sesyen hari ini yang melepas dan membebaskannya atas pertuduhan itu.
Jamal juga turut melahirkan rasa syukur diatas kemenangannya dalam kes ini kerana tanpa pengorbanan beliau dan rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO), usaha untuk membanteras pusat judi haram akan tiada noktahnya.
“Saya ucapkan rasa syukur kepada Allah swt dan juga kepada rakan NGO serta pihak media yang bersusah payah membuat liputan kegiatan yang merosakkan akhlak rakyat negara iaitu kegiatan judi haram ini yang mendapat perlindungan pihak tertentu, katanya lagi.
“Jadi apabila ada rakan-rakan politik dan NGO yang cuba untuk membongkarkan kes tidak bermoral ini, mereka itu akan dituduh.
“Nasib baik harini saya dibicarakan bukan dalam kerajaan Pakatan Harapan.
“Saya yakin dan percaya jika hari ini Kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih memerintah dibawah Peguam Negara Tommy Thomas adalah mustahil kes ini akan dilepas dan dbebaskan walaupun saya berada di pihak yang benar.
“Bayangkan jika kedai judi ini masih ada, apa nak jadi. Maka akan berlakulah jenayah lain dalam negara kita. Jadi ini lah yang kami perjuangkan selama ini walaupun ianya memerlukan pengorbanan yang pahit, tambah Jamal lagi.