KUALA LUMPUR, 9 OGOS 2022 – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba hari ini melancarkan lima (5) pelan hala tuju teknologi bagi memastikan usaha-usaha pembangunan dan pengaplikasian teknologi tempatan diperhebat bagi menjadikan Malaysia sebuah negara pembangun teknologi. Ia juga merupakan antara usaha mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dan buruh asing seterusnya meningkatkan produktiviti negara.

Lima (5) pelan hala tuju teknologi yang dilancarkan ialah:
i. Pelan Hala Tuju Elektrik dan Elektronik: Pembangunan Teknologi 2021-2030 yang bertujuan untuk meningkatkan nilai tambah produk E&E negara berdasarkan kemajuan sains dan inovasi teknologi tinggi;
ii. Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara 2021-2025 yang bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam pembangunan dan aplikasi Blockchain melalui kerjasama serta sinergi strategik;
iii. Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan 2021-2025 yang bertujuan untuk membangunkan ekosistem inovasi kepintaran buatan bagi pembangunan Artificial Intelligence (AI) yang memanfaatkan kolaborasi quadruple helix berpandukan prinsip AI yang bertanggungjawab;
iv. Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Nasional (Advanced Materials) 2021-2030 yang bertujuan untuk memperkukuhkan ekosistem inovasi bahan termaju tempatan dengan memberi fokus kepada empat (4) bahan termaju di mana Malaysia mempunyai kelebihan perbandingan; dan
v. Pelan Hala Tuju Robotik Negara 2021-2030 yang mengenal pasti strategi pembangunan teknologi robotik negara bagi menjadikan Malaysia hub robotik dengan tumpuan dalam sektor berimpak tinggi.

Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, pelan hala tuju teknologi yang dilancarkan ini memberi tumpuan kepada aktiviti pembangunan ekosistem teknologi tempatan yang inklusif merangkumi rantaian bekalan dan nilai serta pembangunan dan penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) teknologi masing-masing yang dijajarkan dengan keutamaan negara.

“Ini merupakan penyelesaian tuntas bagi membolehkan pihak industri mencipta pelbagai produk bernilai tinggi dan inovasi yang menepati kehendak pasaran tempatan dan antarabangsa, seterusnya beralih daripada negara pengguna teknologi kepada pengeluar dan pembangun teknologi,” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba.

Tambahnya lagi, “Bagi memastikan ekosistem ini kekal responsif seiring dengan perubahan global, dasar dan inisiatif yang memudahcara pembangunan dan pengkomersialan teknologi tempatan, peningkatan kemahiran dan pemerkasaan bakat perlu diperkukuhkan menerusi pelan hala tuju di peringkat nasional. Dengan adanya pelan hala tuju yang jelas, ekosistem teknologi dapat diperkasakan seterusnya menarik pelaburan strategik dan kolaborasi strategik perdagangan baharu.”

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yakin strategi yang digubal di bawah pelan hala tuju teknologi yang dilancarkan hari ini akan membina keupayaan tempatan yang juga selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bagi mencapai kesejahteraan rakyat melalui pertumbuhan ekonomi yang inklusif, seimbang dan mampan.

Muat turun Pelan Hala Tuju Teknologi di www.mosti.gov.my/dasar

Leave a Reply