KUALA LUMPUR, 6 September 2024 – Ketua UMNO Bahagian Kepong, TpR Abdul Razak Abdul Rahman, mengeluarkan kenyataan tegas mengkritik Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok, kerana didakwa beberapa kali cuba masuk campur dalam urusan berkaitan Agama Islam.
Kenyataan Abdul Razak ini dilihat sebagai respons langsung terhadap beberapa pandangan yang dikeluarkan oleh wakil rakyat DAP itu, yang dianggap tidak wajar dan berunsur provokasi.
Menurut Abdul Razak, kenyataan Teresa Kok mengenai isu halal mencerminkan kedangkalan pemikiran dan agenda tersirat yang cuba ditonjolkan.
Beliau menegaskan bahawa industri halal di Malaysia merupakan sektor penting yang diunjurkan berkembang kepada nilai USD$113.2 bilion (RM500.4 bilion) menjelang tahun 2030, dengan sumbangan sebanyak 8.1% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025 menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030.
“Perlu diingatkan, urusan berkaitan halal adalah di bawah hal ehwal Agama Islam. Jika ada premis perniagaan bangsa asing yang ingin memasarkan produk mereka kepada umat Islam, mereka wajib mendapatkan sijil Halal terlebih dahulu. Sekiranya premis itu untuk bukan Islam, sijil ini tidak diperlukan,” kata Abdul Razak dalam kenyataannya hari ini.
Beliau turut mengkritik tindakan sesetengah premis yang enggan mendapatkan kelulusan halal daripada JAKIM tetapi hanya meletakkan tanda “No Pork, No Lard” untuk menarik pelanggan Muslim. Menurutnya, tindakan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah dianggap biadap.
“Kita tidak boleh sekadar mengunjungi premis hanya kerana ada pekerja bertudung. Umat Islam perlu lebih berhati-hati dan memastikan bahawa semua aspek penyediaan makanan diambil dari sumber yang jelas halal dan bersih,” tambah Abdul Razak.
Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengingatkan bahawa isu ini perlu dijadikan pengajaran kepada umat Islam untuk lebih berhati-hati dalam memilih premis makanan, sambil menggesa agar kesedaran mengenai kepentingan sijil halal diperluaskan.
Mengakhiri kenyataannya, Abdul Razak menasihatkan Teresa Kok agar tidak mencampuri urusan yang berkaitan dengan agama lain, sebaliknya menumpukan perhatian kepada tugas yang lebih relevan dengan peranannya sebagai ahli parlimen.
“Sebagai orang bukan Islam, lebih baik YB fokus kepada apa yang lebih berkaitan dengan urusan YB sendiri,” katanya.
Kenyataan Abdul Razak ini pastinya akan mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat, terutamanya yang berkaitan dengan sensitiviti agama dan kepentingan halal di negara ini.