KUALA LUMPUR, 8 September 2024 – Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, hari ini mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok, akan dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan berhubung kenyataan beliau mengenai isu pensijilan Halal yang dibuat baru-baru ini.

Tindakan tersebut susulan beberapa laporan polis yang diterima oleh pihak berkuasa terhadap kenyataan berkenaan.

Loke menyatakan bahawa Biro Guaman DAP akan menemani YB Teresa Kok semasa proses memberi keterangan dan akan menyediakan nasihat undang-undang sepanjang siasatan berlangsung.

DAP juga berjanji untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam menangani perkara ini.

“DAP yakin bahawa YB Teresa Kok tidak melanggar undang-undang dalam menjalankan tugas beliau sebagai seorang Ahli Parlimen. Beliau hanya menyampaikan pandangan mengenai dasar kerajaan, yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat,” kata Loke dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Isu pensijilan Halal telah menjadi topik perdebatan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan beberapa pihak beranggapan kenyataan YB Teresa Kok berpotensi mencetuskan kontroversi.

Walau bagaimanapun, pihak DAP menegaskan bahawa pandangan yang disampaikan oleh Ahli Parlimen tersebut adalah sebahagian daripada tugas beliau untuk menyuarakan pendapat mengenai dasar-dasar kerajaan.

Sementara itu, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai siasatan terhadap YB Teresa Kok.

Leave a Reply