Cyberjaya, 12 September 2024 – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Bahagian Sepang menggesa Majlis Perbandaran Sepang (MPS) untuk mempertimbangkan pengeluaran permit sementara kepada peniaga kecil di sekitar Cyberjaya. Desakan ini dibuat selepas tinjauan yang dijalankan oleh PUTRA mendapati ramai peniaga tempatan, termasuk Melayu, Cina, dan India, sering disaman dan barangan perniagaan mereka disita tanpa diberikan peluang untuk berniaga secara sah.

Menurut Ahli Jawatankuasa PUTRA Cawangan Cyberjaya, Puan Ruzaimah Jamaluddin, yang mengetuai tinjauan pada 11 September 2024, ramai peniaga mengadu tentang tindakan pihak berkuasa tempatan yang kerap menghalang aktiviti perniagaan mereka. Peniaga kecil ini telah lama memohon permit sementara, namun permohonan mereka tidak dilayan. Pihak berkuasa tempatan memberi alasan bahawa kawasan Cyberjaya berada dalam perancangan untuk dijadikan “zon tanpa penjaja” bagi menjaga imej bandar moden.

Mohamed Shahrin Ismail, Ahli Dewan Tertinggi PUTRA Malaysia, menegaskan bahawa tindakan PBT ini mendiskriminasi peniaga kecil, yang merupakan penduduk tempatan dan pengundi di kawasan tersebut. Beliau berkata, “Tindakan menghalang peniaga kecil ini seolah-olah menafikan hak warganegara Malaysia untuk mencari rezeki, terutamanya dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar seperti Cyberjaya.”

PUTRA Bahagian Sepang juga membandingkan situasi di Cyberjaya dengan bandar-bandar besar lain seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya, di mana pihak berkuasa tempatan menyediakan kiosk serbaguna atau permit sementara kepada peniaga kecil. Pendekatan ini bukan sahaja membantu peniaga, tetapi juga memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan.

“Di kawasan bandar lain, PBT menyediakan kiosk serbaguna atau mengeluarkan permit sementara bagi mengekalkan keseimbangan ekonomi. Kenapa tidak perkara yang sama dilakukan di Cyberjaya?” soal Shahrin.

PUTRA Sepang turut menekankan bahawa Cyberjaya merupakan kawasan yang dipenuhi pelajar daripada institusi pengajian tinggi seperti Universiti Islam Malaysia, Multimedia University, dan Universiti Malaya cawangan Cyberjaya. Ramai daripada pelajar ini datang dari luar bandar dan tidak mampu berbelanja di restoran elit atau makanan segera setiap hari. Kehadiran peniaga kecil dapat menyediakan alternatif yang lebih mampu milik kepada golongan pelajar dan penduduk berpendapatan rendah.

PUTRA Sepang menyeru agar Yang Berhormat Dato’ Jamil Salleh, Ahli Parlimen Sepang, segera turun padang untuk melihat sendiri situasi di kawasan PDM Cyberjaya dan berbincang dengan Majlis Tertinggi MPS bagi mencari penyelesaian. Mereka juga berharap agar isu ini turut dibincangkan dengan wakil DUN Sungai Pelik dan DUN Tanjung Sepat untuk memastikan penyelesaian yang adil bagi semua pihak.

Dengan isu saman dan sitaan yang sudah berlarutan selama lebih 10 tahun, PUTRA Bahagian Sepang berharap pihak berkuasa tempatan dapat mencari penyelesaian segera dengan memberi permit sementara kepada peniaga kecil atau mewujudkan kiosk serbaguna untuk mereka berniaga dengan sah.

Leave a Reply