GOMBAK, 12 OGOS 2022 – Sedia maklum bahawa harga minyak masak kelapa sawit tulen botol telah diwartakan melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2022 yang berkuat kuasa pada 8 Ogos 2022.

Penguatkuasaan harga maksimum runcit ini adalah ssusulan daripada keputusan yang dicapai menerusi mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI).

Justeru itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah meneruskan OPS ATM bagi memantau dan memeriksa premis runcit yang membekalkan minyak masak kelapa sawit tulen dalam botol mematuhi harga maksimum runcit yang ditetapkan demi kepentingan pengguna.

Untuk makluman, harga maksimum runcit minyak masak kelapa sawit tulen dalam botol berat 5 kg ditetapkan pada harga RM34.70 di peringkat runcit di seluruh Negara meliputi Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan. Turut ditentukan juga, harga maksimum runcit minyak masak kelapa sawit tulen dalam botol bagi 1 kg iaitu RM 7.70, 2 kg RM14.70 dan 3 kg RM21.70.

Sehubungan itu, KPDNHEP Negeri dan Daerah seluruh Negara telah mengatur gerak kerja pemeriksaan dan pemantauan di bawah OPS ATM ke atas pematuhan harga maksimum runcit minyak masak kelapa sawit tulen dalam botol oleh peniaga secara harian.

Hari ini, KPDNHEP Negeri Selangor turun padang menjalankan pemeriksaan di sekitar Gombak dan mensasarkan premis runcit jenis pasaraya bagi memeriksa pematuhan harga maksimum runcit minyak masak kelapa sawit tulen dalam botol dan pada masa yang sama, melihat sendiri keberadaan bekalan di premis jualan. Pemeriksaan in juga diperluas kepada item barangan keperluan harian pengguna yang lain dalam aspek pematuhan penandaan harga.

KPDNHEP menjalankan pemeriksaan secara komprehensif dengan mengenal pasti premis runcit utama yang menjadi fokus utama pengunjung di sesebuah lokaliti bagi memastikan bekalan minyak masak kelapa sawit tulen dalam botol dijual pada harga maksimum yang ditetapkan.

Peniaga yang didapati gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2022 boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti di bawah kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum; bagi individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 (tiga) tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.00 dan bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000.00 atau dikompaun sehingga RM250,000.00.

KPDNHEP meminta pengguna untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan dan aduan berkaitan perlakuan peniaga yang menjual minyak masak kelapa sawit tulen dalam botol melebihi harga maksimum runcit yang ditetapkan ke saluran rasmi berikut :
i. Whatsapp 019-2794317/ 019-8488000
ii. Portal e-aduan.kpdnhep
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDNHEP

Leave a Reply