SHAH ALAM, 12 OGOS 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor komited membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan dan subsidi dengan kerjasama strategik bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di dalam membanteras aktiviti jenayah bersindiket penyelewengan diesel bersubsidi.

KPDNHEP Selangor telah menerima empat (4) kes serahan daripada PDRM di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) iaitu pada 9 Ogos 2022 sejumlah tiga (3) kes dan satu (1) kes pada 11 Ogos 2022.

Keempat-empat kes tersebut disyaki melakukan aktiviti penyelewengan barang kawalan subsidi bahan api diesel di lokasi berasingan iaitu di Semenyih (1 kes), Kota Damansara (1 kes), Kapar (1 kes) dan Puchong (1 kes). Kesemua tindakan adalah kerjasama strategik KPDNHEP Selangor bersama Polis DiRaja Malaysia(PDRM) yang menjalankan pemantauan, risikan dan serbuan.

Kesemua kes tersebut dihasilkan oleh PDRM dan diserahkan kepada KPDNHEP Selangor untuk meneruskan tindakan siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kes pertama adalah pada 9 Ogos 2022 di Semenyih dan diserahkan kepada Pejabat KPDNHEP Cawangan Kajang. Kes serahan ini melibatkan tahanan seorang Orang Yang Disiasat (OYDS) warganegara Malaysia dan direman untuk siasatan.

Sitaan telah dibuat ke atas sebuah kenderaan jenis lori yang disyaki digunakan untuk perlakuan penyelewengan. Sitaan turut dibuat ke atas sebelas (11) unit square tank disyaki berisi diesel dengan anggaran sejumlah 5,500 liter. Anggaran nilai rampasan ialah RM350,000.00.

Kes kedua pada 9 Ogos 2022 di Kota Damansara dan diserahkan kepada Pejabat KPDNHEP Cawangan Petaling Jaya. Kes serahan melibatkan tahanan lima (5) orang OYDS status warganegara kesemuanya. OYDS ditahan bersama tiga (3) buah lori yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan minyak diesel.

Kelima-lima tahanan juga gagal mengemukakan apa-apa dokumen sah bagi menyimpan dan berurusniaga barang kawalan diesel dan petrol. Sitaan telah dibuat ke atas lapan (8) buah tangki berkapasiti 1,000 liter yang berisi, 24 tangki kosong, lain-lain dokumen relevan untuk tujuan siasatan dan tiga (3) buah lori. Anggaran nilai rampasan ialah RM58,050.00.

Kes ketiga pada 9 Ogos 2022 di Jalan Kapar dan diserahkan kepada Pejabat
KPDNHEP Shah Alam. Kes serahan melibatkan tahanan lima (5) orang OYDS, tiga (3) warganegara dan dua (2) bukan warganegara. Kesemua tahanan direman untuk siasatan lanjut. Kesemua tahanan juga didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah untuk urusniaga barang kawalan. Sitaan telah dibuat ke atas dua (2) buah lori, peralatan yang ditemui dan satu (1) unit skid tank disyaki berisi minyak diesel dengan anggaran 20,000 liter. Anggaran sitaan adalah RM 99,092.00.

Kes keempat pada 11 Ogos 2022 di Puchong dan diserahkan kepada Pejabat KPDNHEP Shah Alam. Kes serahan ini melibatkan empat (4) tahanan warganegara.

Kesemua direman untuk siasatan lanjut. Sitaan telah dibuat ke atas tiga (3) buah lori. Proses siasatan di lokasi kejadian masih berjalan.

Keempat-empat kes serahan daripada PDRM ini diterima oleh KPDNHEP Selangor di antara jam 1.00 petang sehingga 6.00 petang.

Keempat-empat kes serahan agensi ini disiasat berhubung kesalahan yang disyaki telah dilakukan di bawah AKB 1961 dengan potensi kesalahan seperti berikut :
a) Seksyen 20 (1) AKb 1961 – Memindah menyimpan barang kawalan di tempat tidak berlesen.
b) Subseksyen 7(4) AKB 1961 – Mana-mana org yang gagal mengemukakan lesen atau surat kebenaran dalam masa yang munasabah apabila diminta oleh pegawai bekalan adalah melakukan suatu kesalahan.
c) Seksyen 21 AKB 1961 – Memiliki barang kawalan dengan menimbukan syak yang munasabah akan melakukan kesalahan; dibaca bersama ; Peraturan 3 PPKB 1974-Berurusan Barang Kawalan Berjadual tanpa lesen dan; Peraturan 18 (1) PPKB (Pindaan) 2021- Tidak boleh menggunakan atau mengambil barang berjadual sepertimana dinyatakan dalam Ruang 1 Bahagian IV Jadual, Tidak boleh ada dalam milikannya kuantiti yang dinyatakan dalam Ruang 2 Bahagian IV Jadual tanpa kebenaran melalui permit yang dikeluarkan Pengawal.
d) Peraturan 12A – Melanggar Arahan Pengawal Bekalan.

KPDNHEP Selangor akan meneruskan siasatan lanjut ke atas keempat-empat kes tersebut untuk mengenal pasti individu atau mana-mana pihak yang terlibat secara langsung di dalam aktiviti bersindiket ini.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi Satu Juta Ringgit Malaysia (RM1,000,000.00) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Tuan Mohd Khairi bin Jamaludin menegaskan pihaknya akan bertindak tegas serta tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna.

Beliau juga meminta pengguna untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan berkaitan perlakuan penyelewengan barangan bersubsidi di saluran rasmi
berikut :
i. Whatsapp 019-2794317/ 019-8488000
ii. Portal e-aduan.kpdnhep
iii. Call Centre 1-800-886-800 iv.
Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
iv. Ez ADU KPDNHEP
v. Bilik Gerakan KPDNHEP Selangor (setiap hari 8.00 pagi6.00
petang) 03 5514 4393

Leave a Reply