KUALA LUMPUR, 21 September 2024 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tampil memberi penjelasan susulan beberapa hantaran di media sosial yang mengaitkan persatuan tersebut dengan siasatan terhadap kumpulan GISBH.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan @ Toqqi, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan persatuan itu dengan isu berkenaan.
Menurut beliau, PPIM sentiasa mematuhi prinsip undang-undang dan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang atau bertentangan dengan ajaran Islam.
Terdapat cubaan pihak tertentu untuk mengaitkan PPIM dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terhadap GISBH, namun Toqqi menjelaskan bahawa kerjasama antara PPIM dan GISBH sebelum ini hanya tertumpu kepada menyokong usaha GISBH dalam memperkenalkan produk halal buatan Muslim di Malaysia.
“PPIM tidak mengetahui sebarang dakwaan yang melibatkan jenayah seksual, pemerdagangan manusia, atau penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan GISBH sehingga perkara itu didedahkan baru-baru ini. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegas Nadzim.
Beliau juga menyeru masyarakat agar tidak memburukkan keadaan dengan menyebarkan maklumat yang tidak tepat atau mengaitkan PPIM dengan isu yang tidak berkaitan. Nadzim turut menekankan bahawa PPIM bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika diperlukan.
Isu ini mencetuskan kebimbangan apabila dakwaan mengenai penglibatan GISBH dalam aktiviti jenayah berat termasuk eksploitasi kanak-kanak mula tersebar di media sosial. Nadzim menyatakan bahawa PPIM menyokong sepenuhnya siasatan PDRM terhadap kumpulan tersebut dan berharap keadilan dapat ditegakkan.
Di samping itu, PPIM turut menyuarakan kebimbangan terhadap budaya buli siber yang semakin berleluasa di Malaysia. Nadzim berkata, “Serangan siber dan fitnah di media sosial semakin tidak terkawal, dan PPIM berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu.”
PPIM berharap isu ini dapat diselesaikan dengan adil dan mereka yang terlibat dalam jenayah tersebut dihukum dengan setimpal, terutama jika membabitkan eksploitasi kanak-kanak.