KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JAINS) kini mempertingkatkan pelan penguatkuasaan bagi menyekat penularan ajaran sesat dan doktrin palsu yang dikesan mula berani menyusup masuk melalui penganjuran di sekolah-sekolah terbuka.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama Sabah, YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Bin Mohd Arif menegaskan, tindakan tegas akan diambil berlandaskan undang-undang sedia ada, khususnya di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Nombor 3 1995.
Menurut beliau, enakmen tersebut secara jelas memperuntukkan kuasa pengawalan dan penguatkuasaan terhadap sebarang bentuk ajaran salah, penyelewengan, mahupun penyebaran doktrin palsu melalui Seksyen 51(1), Seksyen 51(A), dan Seksyen 102.
Kawalan Ketat Pengajaran Agama & Isu Tauliah
Bagi memastikan rantaian ajaran menyeleweng ini diputuskan sepenuhnya, kerajaan negeri memperketat syarat penyampaian dakwah. Mana-mana individu yang mahu mengajar atau menyampaikan ceramah agama di Sabah diwajibkan memiliki tauliah rasmi.
”Ini adalah usaha kita untuk mengawal, menyelaras, dan memantau perkembangan agama. Kita mahu memastikan seluruh masyarakat terus berpaut dan bersandar kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” ujar beliau ketika mengulas pelan tindakan terkini jabatan.
Tangkapan Dibuat, Kertas Siasatan Dibuka
Mengulas mengenai tindakan ke atas pengikut atau penganjur ajaran yang meragukan, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin mengesahkan beberapa tangkapan telah dilakukan. Kesemua individu terbabit dibebaskan dengan jaminan, namun proses siasatan rasmi kini sedang berjalan rancak.
”JAINS sudah memanggil mereka untuk memberikan keterangan bagi membuka kertas siasatan. Selepas itu, tindakan lanjut akan menyusul termasuk melaksanakan program pemulihan akidah serta memberi kefahaman Islam yang sebenar,” katanya.
Sebagai langkah proaktif, Sabah juga bakal menganjurkan sebuah Konvensyen Antarabangsa Tasawuf/Sufi pada tahun ini bagi memberikan pencerahan tuntas mengenai amalan sufi yang sebenar dalam konteks Ahli Sunnah Wal Jamaah sekali gus menolak eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
Pesanan Keras Kepada Belia & Pelajar Di Semenanjung
Beliau turut menitipkan pesanan mendalam kepada golongan belia, rakyat Sabah, serta para pelajar yang kini menuntut di Semenanjung Malaysia agar tidak mudah terjerumus ke dalam kancah ajaran sesat.
Masyarakat digesa untuk sentiasa merujuk kepada pihak berwibawa seperti Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), JAINS, dan Pejabat Mufti sekiranya berdepan dengan ajaran yang meragukan.
”Rujuklah kepada guru-guru yang telah diberikan tauliah rasmi. Bagi anak-anak di menara gading, pastikan anda merujuk kepada pensyarah serta para guru yang telah diiktiraf oleh universiti masing-masing,” nasihat beliau menutup bicara.
– Berita AATV
#AjaranSesat #BeritaAATV #SabahMajuJaya #IsuAkidah #SembangRakyat