Kuala Lumpur, 24 September 2024 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, hari ini menyuarakan sokongan terhadap pendirian Ketua Pemuda UMNO, YB Datuk Dr Akmal Saleh, yang tidak perlu memohon maaf berhubung kenyataan mengenai isu sijil halal dan kritikan terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, serta DAP.
Gulam Muszaffar berkata, kenyataan Dr Akmal adalah selaras dengan perlembagaan UMNO di bawah Perkara 3 yang menyentuh asas dan tujuan penubuhan parti itu, terutamanya berkaitan hak dan kedudukan agama Islam, hak Melayu, institusi Raja-Raja Melayu, dan Bahasa Melayu.
“Tiada keperluan untuk Dr Akmal memohon maaf. Kenyataannya juga selaras dengan perjanjian PH-BN sebelum pembentukan kerajaan perpaduan, yang menegaskan bahawa empat perkara utama ini terkunci kemas dan tidak boleh dipertikaikan,” ujar Gulam Muszaffar dalam kenyataan media hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa isu sijil halal tidak seharusnya dipolemikkan oleh DAP kerana ia melibatkan kepentingan umat Islam di Malaysia. Menurutnya, sijil halal bukan sekadar simbol, tetapi satu cara hidup (syumul) yang perlu diterapkan dalam kehidupan masyarakat Islam.
“Halal ini bukan hanya untuk orang Islam, tetapi ia memberi manfaat kepada semua pihak termasuk bukan Islam. Sekiranya ada perkara yang perlu ditambah baik, kita perbaiki bersama, bukannya mempertikaikannya,” jelas Gulam.
Tambahnya lagi, UMNO perlu tegas dalam mempertahankan keindukan Islam dan Melayu, tanpa perlu terlalu “meminta maaf” atau bersikap apologetik.
Jika tidak, katanya, UMNO akan dilihat lemah dan gagal berfungsi seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika berada dalam kerajaan Pakatan Harapan pertama dahulu.
“Ketegasan dalam isu sijil halal bukan bermakna kita anti mana-mana kaum, tetapi ini adalah hak yang perlu kita pertahankan dengan penuh kesungguhan,” katanya.
Gulam Muszaffar juga mengingatkan UMNO agar terus mempertahankan asas perjuangannya, terutamanya dalam melindungi hak Melayu dan agama Islam.