KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, tampil mengulas secara lantang berhubung rombakan kabinet terbaru yang diumumkan Perdana Menteri, sambil menggesa agar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook digugurkan daripada jawatan tersebut.

Menurut beliau, meskipun mengucapkan tahniah kepada beberapa menteri yang terlibat dalam rombakan termasuk saudara Ramanan dan saudari Hannah Yeoh, namun terdapat kekecewaan besar terhadap pengekalan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.

“Tahniah kepada mereka yang dilantik, tetapi saya sedih. Menteri Pengangkutan ini sepatutnya digugurkan kerana tidak menunjukkan kecekapan,” katanya ketika ditemui media.

Dato’ Dr Kalaivanar turut mengaitkan kekalahan teruk DAP di Sabah sebagai petanda kegagalan kepimpinan Anthony Loke, termasuk kekalahan lapan kerusi yang disifatkan sebagai antara prestasi terburuk parti itu dalam sejarah.

Beliau juga membangkitkan isu memorandum besar-besaran melibatkan kira-kira 4,000 peserta yang diserahkan di Parlimen pada 19 November lalu, mengandungi 27 resolusi lengkap dengan cadangan penyelesaian, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada Kementerian Pengangkutan.

“Sudah lebih sebulan, tiada jawapan, tiada kenyataan media, tiada kaji selidik. Ini menunjukkan beliau tidak layak menerajui kementerian tersebut,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, tindakan kementerian menghantar wakil penjawat awam dari JPJ bagi menerima memorandum di Parlimen disifatkan sebagai tidak wajar dan mencerminkan kegagalan kepimpinan.

Keluhan daripada pemandu lori, pengusaha lori serta pengendali bas turut dibangkitkan, dengan dakwaan masalah industri pengangkutan semakin meruncing sejak kementerian itu diterajui oleh Anthony Loke.

Sehubungan itu, Dato’ Dr Kalaivanar menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya melantik individu lain untuk menerajui Kementerian Pengangkutan demi memberikan nafas dan hala tuju baharu kepada sektor berkenaan.

“Tak kisahlah daripada parti mana sekalipun, asalkan mampu membawa perubahan. Ini soal kelayakan, bukan politik semata-mata,” katanya.

#RombakanKabinet
#AnthonyLoke
#MenteriPengangkutan
#Kalaivanar
#IsuPengangkutan
#KabinetMalaysia
#PolitikSemasa
#AATVMedia
#SuaraRakyat
#ParlimenMalaysia

Leave a Reply