Oplus_16908288
Oleh : Bujang Azmi
Tidak perlu kita berbasa-basi lagi. Sarawak sekarang memang cuba menidakkan peruntukan yang diberikan kepada Petronas melalui Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.
Kononnya, PDA ini tidak boleh terpakai di Sarawak kerana ianya peruntukan undang-undang baharu yang datang pada 1974, sedangkan sejak 1958, Sarawak telah mengguna pakai Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.
Masalahnya, kalau inilah logik mereka, mengapa pula mereka membuat undang-undang yang baharu lagi iaitu Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016? Nampaknya mereka sendiri ingkar kepada pertikaian pertama mereka sendiri.
Hakikatnya, undang-undang mana yang datang terlebih dahulu tidak relevan. Yang lebih penting adalah kedudukan undang-undang yang digubal, yang manakah yang lebih tinggi dan utama.
Di Malaysia, ada dua tahap penggubalan undang-undang. Di kedudukan yang tertinggi adalah Kerajaan Persekutuan, manakala di kedudukan yang lebih rendah adalah Kerajaan Negeri.
Undang-undang yang digubal di peringkat persekutuan, dinamakan ‘Akta’, manakala di peringkat negeri, dinamakan ‘Enakmen’ atau ‘Ordinan’. Akta terpakai di seluruh negara manakala Enakmen atau Ordinan hanya terpakai di negeri undang-undang tersebut digubal.
Dari segi keutamaan, akta mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding Ordinan. Ini kerana penggubalan Akta melibatkan wakil semua negeri semasa penggubalannya.
PDA juga tidak terkecuali. Tun Abdul Rahman Ya’kub, Ketua Menteri Sarawak ketika itu merupakan antara individu yang terlibat dalam penggubalan PDA 1974.
Kalau kita ambil pendapat yang lebih sinis, seolah-olah pemimpin Sarawak sekarang ingin mengatakan bahawa bekas pemimpin mereka sendiri yang mengkhianati negeri sendiri.
Namun apa pun, memang jelas ada niat tidak baik di sebalik penggubalan DGO 2016, dan tindakan-tindakan terkini Sarawak yang sengaja menimbulkan perbalahan dengan Kerajaan Persekutuan.
