KLUANG, 28 September 2024 – Calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Syed Hussien Bin Syed Abdullah, mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota dengan majoriti melebihi 20,000 undi, memantapkan kedudukan BN di Johor.

Kemenangan luar biasa ini dianggap sebagai kesinambungan legasi Allahyarhamah Sharifah Azizah, bekas wakil rakyat DUN Mahkota, yang telah berbakti sepenuh jiwa raga kepada kawasan ini.

Syed Hussien berjaya menarik sokongan lebih 35,791 pengundi DUN N29 Mahkota, memberi mandat kepada beliau untuk meneruskan perkhidmatan di kawasan itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, melahirkan penghargaan kepada pengundi atas kepercayaan yang diberikan kepada BN dan calon Kerajaan Perpaduan.

Dalam kenyataan media hari ini, Ahmad Zahid menyatakan kemenangan ini tidak hanya menunjukkan sokongan kepada calon BN, tetapi juga merupakan isyarat jelas bahawa rakyat Johor menerima kepimpinan Kerajaan Perpaduan, yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim. Zahid juga menzahirkan terima kasih kepada jentera Barisan Nasional, komponen Kerajaan Perpaduan, serta Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, yang memainkan peranan penting dalam kejayaan ini.

“Kerjasama erat dan semangat juang tinggi daripada semua pihak merupakan pemangkin kepada kemenangan ini. Kami sangat menghargai dedikasi dan usaha tanpa henti jentera BN yang berkampung di Mahkota untuk memastikan kemenangan ini milik kita,” kata Ahmad Zahid.

Beliau juga menegaskan bahawa kejayaan ini bukan alasan untuk BN berasa selesa. Sebaliknya, ia menjadi amanah dan tanggungjawab berat untuk memastikan keperluan rakyat di Mahkota terus dipenuhi.

Kemenangan di Mahkota dan Nenggiri, menurut Zahid, adalah cerminan penerimaan rakyat terhadap BN dan Kerajaan Perpaduan. Beliau menekankan bahawa UMNO dan BN akan terus berusaha keras untuk memperbaiki mutu kehidupan rakyat dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Buat Syed Hussien, Ahmad Zahid memberi pesanan supaya terus menunaikan janji dan memberi khidmat terbaik kepada penduduk DUN Mahkota. “Budi mesti dibalas, kata perlu dikota, janji wajib ditepati,” ujarnya.

Kemenangan ini dilihat sebagai satu lonjakan moral untuk BN dalam menghadapi cabaran politik di masa hadapan, memperkuatkan lagi sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim.

Leave a Reply