KUALA LUMPUR, 29 September 2024 – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Mahkota terus mempamerkan kematangan kerjasama antara gabungan BN-PH, sekali gus memperlihatkan bahawa slogan “No DAP” kini tidak lagi relevan.

Kenyataan ini disuarakan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi, yang menyifatkan retorik lama itu hanya digunakan oleh pihak yang tidak mempunyai masa depan dalam UMNO atau yang mencari alasan untuk melompat parti.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Puad menegaskan bahawa persafahaman antara UMNO dan DAP adalah kunci kelangsungan Kerajaan Perpaduan, dan kemenangan di Mahkota menjadi bukti bahawa formula kerjasama ini berjaya.

Menurut beliau, perbezaan pendapat yang timbul seperti isu halal tidak menjejaskan kejayaan BN di Mahkota dan tidak wujud sebarang boikot terhadap calon. Malah, DAP telah menunjukkan komitmen penuh dalam berkempen, yang membuktikan solidariti yang wujud antara kedua-dua parti.

“Lebih baik persafahaman BN-DAP berlangsung secara terbuka dan ikhlas, bukan berasaskan hipokrasi. Tidak salah jika terdapat perbezaan pandangan, namun kebijaksanaan dalam menyelesaikannya yang penting. Sikap terbuka pemimpin generasi baharu DAP serta kematangan pemimpin UMNO telah membuka lanskap baharu dalam politik negara,” ujar Puad.

Beliau turut menyatakan bahawa kemenangan di Mahkota bukan sekadar kemenangan tempatan, tetapi ia merupakan penanda aras kepada kerjasama lebih kukuh antara BN dan PH di peringkat nasional.

Puad juga mempersoalkan masa depan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakannya semakin hilang arah, terutama sekali selepas kekalahan besar di Mahkota.

“Biarkan PN terjun dengan labu-labunya. Kita tunggu sahaja musibah kekalahan teruk mereka, khususnya Bersatu. Kita juga mungkin akan menyaksikan perang dalaman yang pernah berlaku dalam Bersatu selepas kekalahan di Tanjung Piai, dan tidak mustahil Azmin Ali akan cuba melaksanakan langkah Sheraton 2.0,” tambahnya.

Namun begitu, Puad percaya bahawa kali ini, DAP tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk menyerang. Oleh itu, beliau menjangka akan ada pihak lain yang dijadikan “kambing hitam” sekiranya PN menghadapi kekalahan lebih besar pada masa akan datang.

Kenyataan Puad dilihat sebagai satu isyarat bahawa UMNO kini lebih bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan DAP demi kestabilan politik negara, sekali gus menolak pandangan konservatif yang masih menolak kerjasama dengan parti-parti yang berlainan ideologi.

Leave a Reply