KUALQ LUMPUR, 29 September 2024 – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri Dr. Zambry Abd Kadir hari ini mengesahkan bahawa terdapat permohonan Parti Makkal Sakti Malaysia dari Friends of Barisan Nasional untuk menyertai gabungan politik BN.

Menurutnya, isu ini telah lama dibincangkan dalam kalangan pimpinan BN dan kini menunggu keputusan muktamad.

“Perkara ini bukan lagi satu rahsia. Sebagaimana yang disebut oleh Pengerusi BN, sebarang keputusan mengenai penyertaan Friends of Barisan Nasional mesti dibuat secara bersama melalui konsensus,” kata Zambry dalam sidang media di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menegaskan bahawa komitmen untuk menjaga kesefahaman dalam kalangan pimpinan komponen utama BN adalah keutamaan dalam apa-apa keputusan besar seperti ini.

“Kita sekarang mempunyai empat komponen utama dalam Barisan Nasional. Dulu ada tiga belas komponen, dan meskipun kini lebih mencabar, kita sedang berusaha untuk mencari pendekatan terbaik,” tambah beliau.

Zambry juga memaklumkan bahawa Pengerusi BN, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, akan mengumumkan strategi dan pendekatan terbaru untuk memastikan kemasukan Parti Makkal Sakti Malaysia dari ‘Friends of Barisan Nasional’ selaras dengan matlamat gabungan itu.

Selain itu, Zambry turut mengulas mengenai kedudukan Parti Progresif Penduduk (PPP) yang sebelum ini merupakan salah satu parti komponen utama BN. Menurut beliau, isu ini juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Dewan Tertinggi Barisan Nasional yang akan datang.

“Kami akan cadangkan agar isu PPP dibincangkan di peringkat tertinggi untuk membuat keputusan mengenai status parti tersebut dalam BN,” katanya.

Dengan perubahan lanskap politik yang berlaku, langkah BN untuk membuka pintu kepada sekutu-sekutu baru dijangka dapat memperkukuhkan kedudukannya dalam menghadapi cabaran politik masa kini.

Leave a Reply