Kuching, 5 Oktober 2024 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hari ini melancarkan pusat E-Sports dan Produksi Kreatif di CENTEXS Lundu serta Titan Byte E-Sports Gaming Hub di JUMA’ANI Pavilion, Petrajaya, Kuching.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam mempromosikan kemahiran teknologi dan seni kreatif di kalangan pelatih dan alumni Technical and Vocational Education and Training (TVET).
Dalam lawatannya, beliau menyaksikan demonstrasi pelbagai produk yang dihasilkan di CENTEXS, termasuk bengkel pembuatan kasut, sulaman keringkam, dan jahitan, serta produksi kreatif seperti 3D, ARVR, dan SARA-X. Produk-produk tersebut, yang dipasarkan melalui CENTEXS Commercial, tidak hanya mempamerkan kemahiran teknikal tetapi juga menjadi platform komersial yang membolehkan pelatih mempersembahkan hasil kerja mereka di peringkat tempatan dan global.
Antara inisiatif yang dilancarkan adalah Batik JUMA’ANI, produk eksklusif yang dihasilkan oleh pelatih dan alumni CENTEXS, yang dijangka mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa. Produk ini turut mendapat pengiktirafan sebagai sebahagian daripada kit latihan TVET seperti baju sukan, tudung, baju batik, dan pakaian lain yang digunakan oleh para pelatih.
Dr. Ahmad Zahid menekankan bahawa usaha CENTEXS dan CENTEXS Commercial dalam memajukan TVET wajar dijadikan contoh, di mana sektor ini kini berperanan penting dalam melahirkan generasi belia yang berkemahiran tinggi.
Beliau berharap lebih ramai belia memilih laluan pendidikan ini, seiring dengan komitmen kerajaan dalam memperkasa TVET sebagai salah satu komponen utama pembangunan negara di bawah kerangka Malaysia Madani.
#TVETMalaysia #CENTEXS #MalaysiaMADANI