Kuala Lumpur, 15 Oktober 2024 — Pergerakan Wira PUTRA Malaysia hari ini mendesak kerajaan untuk segera menangani isu graduan yang bekerja dalam bidang tidak setaraf dengan kelayakan akademik mereka. Gesaan ini dibuat susulan laporan Bank Dunia yang mendedahkan bahawa lebih daripada satu perempat graduan di Malaysia terpaksa menerima pekerjaan di luar bidang kelayakan ijazah mereka.

Ketua Pergerakan Wira PUTRA, Nasrul Ali Hasan bin Abdul Latif, menyuarakan kebimbangannya terhadap masalah tersebut dan menegaskan bahawa sehingga kini, kerajaan masih belum mempunyai dasar yang jelas untuk menyelesaikan isu ini. Lebih merisaukan, laporan Tenaga Buruh Malaysia bagi suku pertama 2024 menunjukkan bahawa 80 peratus daripada keseluruhan penganggur adalah golongan muda berusia antara 15 hingga 34 tahun, yang mana sebahagian besarnya merupakan graduan dari institusi pengajian tinggi.

Nasrul berkata, jumlah graduan yang semakin meningkat setiap tahun, termasuk dari pelbagai kursus peringkat diploma dan ijazah, tidak selari dengan peluang pekerjaan yang tersedia. “Sekurang-kurangnya 60 hingga 70 peratus peluang pekerjaan setaraf daripada jumlah bakal graduan perlu diwujudkan setiap tahun,” katanya.

Wira PUTRA turut mengkritik program jangka pendek yang diwujudkan antara Kementerian Sumber Manusia dan syarikat-syarikat swasta, yang menurut Nasrul hanya menguntungkan syarikat terbabit dengan tenaga kerja murah tanpa jaminan penyerapan tetap. Graduan, katanya, akhirnya kembali ke dalam kelompok pengangguran selepas tempoh kontrak tamat.

Beliau turut memberi amaran bahawa isu ini akan memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi negara. “Tanpa pekerjaan yang baik, golongan muda tidak mampu menyimpan atau menyumbang kepada ekonomi dengan sepenuhnya,” tambah Nasrul.

Bagi menangani isu ini, Wira PUTRA mencadangkan agar kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa kemapanan ekonomi masa depan yang khusus menangani masalah graduan bekerja tidak setaraf, serta memperbaiki dasar untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan Malaysia.

Nasrul turut mengingatkan menteri-menteri dan pegawai kerajaan agar tidak terus beretorik dalam soal politik dan sebaliknya menumpukan usaha mereka untuk mencari penyelesaian bagi membangunkan ekonomi golongan muda yang bakal mewarisi negara.

Leave a Reply