KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2024 – Parti PUTRA hari ini menggesa kerajaan untuk lebih proaktif dalam membantu golongan M40 yang semakin terbeban oleh kos sara hidup yang tinggi.
Menurut Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, golongan M40 kini mengalami tekanan kewangan yang besar walaupun mereka tidak tergolong dalam golongan berpendapatan rendah.
Shahrulufti menyatakan bahawa walaupun pendapatan golongan M40 berada dalam julat RM4,850 hingga RM10,959 sebulan, mereka menghadapi kesukaran dalam menampung perbelanjaan harian. Menurut beliau, kenaikan harga barang dan perkhidmatan menyebabkan 60% daripada golongan ini sukar untuk menabung atau menyediakan dana kecemasan, manakala hampir separuh terpaksa mengurangkan perbelanjaan asas termasuk makanan dan pendidikan.
“Situasi ini sangat membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila kita melihat kesukaran yang dihadapi oleh golongan ini untuk mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan yang mencukupi. Sekitar 35% golongan M40 menghadapi masalah membayar bil perubatan dan lebih daripada 50% tidak mempunyai perlindungan insurans kesihatan yang mencukupi,” katanya.
Shahrulufti turut mencadangkan beberapa langkah penting yang boleh diambil kerajaan untuk meringankan beban golongan ini, termasuk peningkatan bantuan kewangan, pengurangan cukai, serta subsidi yang lebih besar dalam sektor pendidikan dan kesihatan.
Antara cadangan lain termasuk memperkenalkan lebih banyak peluang pekerjaan dan program latihan bagi meningkatkan pendapatan golongan M40, melonggarkan syarat pinjaman perumahan, serta menyediakan skim insurans kesihatan yang lebih komprehensif dan mampu milik.
Parti PUTRA menegaskan bahawa usaha pembelaan untuk golongan M40 adalah perlu untuk memastikan semua lapisan masyarakat mendapat keadilan dan kesejahteraan yang setimpal.
“Kita tidak boleh meminggirkan golongan M40 kerana mereka juga merupakan tulang belakang ekonomi negara. Dengan langkah-langkah yang tepat, kita dapat memastikan kesejahteraan mereka dan membina sebuah negara yang lebih adil dan makmur,” tambahnya.
Kerajaan kini dijangka memberi respon terhadap gesaan ini di tengah-tengah kebimbangan yang meningkat mengenai isu kos sara hidup yang semakin mencengkam rakyat Malaysia, terutama dalam kalangan kelas pertengahan.