JELEBU, 14 Ogos — Penganjuran Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) 2022, berjaya membantu 25 ribu pelajar kategori B40 di luar bandar menyambung pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) setakat ini.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, jumlah tersebut adalah separuh daripada keseluruhan 50 ribu pelajar yang disasarkan untuk dibantu tahun ini.
“Tahun ini Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) yang menganjurkan JPKM akan menyelesaikan siri jelajah ke 50 kawasan Parlimen di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta seramai 50 ribu pelajar dibantu tahun ini sama ada untuk mereka buat Sijil, Diploma ataupun Ijazah Sarjana Muda.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan JPKM Parlimen Jelebu di Pekarangan Kompleks UMNO Bahagian Jelebu di Simpang Pertang di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali.
Mahdzir yang juga Menteri Mentor bagi program JPKM menambah, matlamat utama JPKM adalah untuk mencari pelajar-pelajar di luar bandar yang mungkin terlepas memasuki mana-mana IPT kerana faktor tertentu seperti masalah kewangan keluarga.
“Sebelum ini pelajar-pelajar kita memasuki ke universiti dan IPT selepas ditawarkan berdasarkan keputusan peperiksaan mereka, ada juga yang masuk selepas mereka melalui sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Tetapi masih ada yang terlepas pandang, oleh itu saya berharap apabila JPKM dianjurkan di kawasan-kawasan Parlimen, sekiranya ada pelajar-pelajar yang layak dan ada kesesuaian ambil lah pelajar-pelajar ini,” katanya.
JPKM yang digerakkan oleh Yayasan Prihatin Nasional, merupakan inisiatif dan projek khas Perdana Menteri bagi membuka akses pendidikan tinggi kepada seluruh Keluarga Malaysia khususnya di luar bandar.
Ia melibatkan penyertaan kira-kira 38 buah IPT awam dan swasta serta institut kemahiran bagi menyediakan peluang kedua kepada pelajar untuk mendapatkan tempat ke IPT.