CYBERJAYA, 15 Ogos 2022 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini mengumumkan senarai pemenang bagi MYHackathon 2022 Kohort Pertama di RekaScape, Cyberjaya.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, menyaksikan kesemua pemenang MYHackathon 2022 ini bakal menerima geran permulaan bernilai sehingga RM250,000.00 dan bimbingan secara one-to-one untuk melaksanakan pembangunan projek rintis selama 12 bulan.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba menjelaskan jumlah penyertaan yang diterima pada kohort pertama MyHackathon 2020 ini adalah sangat memberangsangkan di mana Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) berjaya menghimpunkan 433 penyertaan daripada pelbagai latar belakang kepakaran antaranya dalam rekaan produk, perisian dan juga kecerdasan buatan. Selain itu, MyHackathon 2022 juga turut menerima penyertaan daripada negeri-negeri di luar Lembah Klang termasuklah Sabah dan Sarawak.

“MYHackathon yang dianjurkan oleh Cradle ini adalah contoh terbaik yang menggabungkan intervensi pembiayaan dan bakat yang dirangka di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Start-up Malaysia (SUPER) 2021-2030. Program sebegini diharap dapat menarik perhatian pelabur terhadap start-up teknologi yang berpotensi untuk memberikan sokongan kepada syarikat-syarikat pemula agar dapat melebarkan sayap bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat global,” katanya.

Tambahnya lagi, “Saya melihat pengiktirafan dan penganugerahan geran kepada para pemenang MYHackathon 2022 ini adalah permulaan yang amat penting. Sudah tiba masanya kita buktikan kemampuan dan kepakaran syarikat-syarikat pemula tempatan yang setanding dengan negara-negara maju.”

Sebanyak lima (5) penyataan masalah telah dikemukakan oleh pihak kementerian, dan agensi-agensi kerajaan iaitu:

Dengan tema ‘Hackathon Nasional Untuk Malaysia Yang Inklusif’, program yang telah dilancarkan pada 27 Julai 2022 ini telah melabuhkan tirainya bagi kohort pertama setelah dua (2) minggu menjalani kem intensif dan sesi pementoran sebagai persediaan untuk acara akhir hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, “Cradle selaku agensi pelaksana bagi MYHackathon 2022 akan terus memberi sokongan kepada semua start-up di Malaysia dan membimbing mereka daripada peringkat idea sehingga peringkat pengkomersialan. Cradle berganding bahu bersama MOSTI dalam menyokong dan membimbing para pemenang dalam pembangunan projek rintis bagi memastikan solusi yang telah dipilih dapat direalisasikan,dan seterusnya memberi impak positif kepada rakyat.”

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pembangunan Ekosistem Cradle, Ahmad Kashfi Alwi menjelaskan, “MYHackathon 2022 telah menyaksikan pertumbuhan syarikat-syarikat baharu dengan idea dan kepakaran yang luar biasa dalam menyelesaikan penyataan masalah dan ini sejajar dengan misi utama program MYStartup dan inisiatif yang diterajui oleh MOSTI untuk menyediakan platform kepada semua start-up yang berinovasi agar lebih mampan serta berdaya saing.”

Leave a Reply