PAPAR, 15 Ogos — Malaysia perlu mengukuhkan aspek keselamatan di perairan sempadan Sabah dan Sarawak khususnya melibatkan pertahanan ketenteraan strategik.
Ia bagi memastikan negara ini berada dalam situasi mampu bertahan jika berlaku sebarang konflik di Laut China Selatan.
Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, siri pencerobohan di perairan Sabah dan Sarawak oleh pihak berkuasa dan ketenteraan China kebelakangan ini membuktikan kedaulatan Malaysia tidak dihormati.
“Keselamatan kita di Laut China Selatan melibatkan perairan Sabah dan Sarawak kerap dicerobohi sesuka hati oleh China walaupun pelbagai usaha telah diambil Malaysia sama ada melalui rundingan mahu pun diplomatik.
Namun, saya lihat usaha ini tidak cukup kerana masih tidak diendahkan China, jadi kita harus lebih tegas dalam isu ini kerana ia melibatkan kedaulatan serta keselamatan rakyat khususnya di kedua-dua wilayah ini (Sabah dan Sarawak),” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Menurut beliau, situasi sama turut dialami oleh negara Asean lain yang menunjukkan China tidak teragak-agak mengerahkan tenteranya bertindak terhadap negara lain sekiranya merasakan hak wilayah mereka terancam.
“Sudah tiba masanya Malaysia mengambil tindakan segera dengan mengukuhkan aspek ketenteraan di sempadan perairan kita sebelum Laut China Selatan menjadi medan perang dunia ketiga.”
China tambah Ahmad, tanpa segan silu mengukuhkan kehadiran mereka di Laut China Selatan dengan mendirikan kemudahan ketenteraan di atas pulau-pulau yang masih dalam pertikaian.
Malah China juga katanya, baru-baru ini menambah peruntukan ketenteraan mereka untuk kawasan itu yang sekaligus menimbulkan ketegangan di rantau Asean.
Menurutnya lagi, Filipina baru-baru ini buat pertama kalinya telah diberi amaran langsung oleh China apabila menjalankan aktiviti yang disifatkan sebagai provokasi ketenteraan walaupun di dalam kawasan perairan sendiri.
“Lihat apa berlaku di Taiwan ketika ini apabila tentera China melakukan latihan secara besar-besaran di sekitar perairan Taiwan sebagai bantahan susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke pulau itu, baru-baru ini.
Jika berlaku konflik di Laut China Selatan, tentunya Sabah dan Sarawak akan menjadi barisan hadapan sekiranya Malaysia terus lemah dan tidak bertegas dalam menjaga kedaulatan serta keselamatan perairan kita,” tegasnya.
Ahmad yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu kerajaan Malaysia mencontohi negara-negara lain yang sudah mula mengukuhkan aspek ketenteraan termasuk keselamatan di perairan sempadan masing-masing.
Malaysia katanya, wajar melakukan tindakan sama dengan mempertingkat dan menaiktaraf aset ketenteraan khususnya aset Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM).
Tegas beliau, adalah malang bagi Malaysia apabila projek kapal tempur pesisir (LCS) sebanyak enam buah yang bernilai RM9 bilion mengalami kelewatan dan masih belum siap sehingga kini.
“Ini menunjukkan negara kita tidak berada dalam kesiapsiagaan dari segi keselamatan maritim dengan kontroversi melibatkan aset ketenteraan kita (LCS) yang amat penting itu.
Jika Malaysia terus kelihatan lemah dalam menjaga kedaulatan di sempadan perairan, kita bakal berhadapan banyak kerugian khususnya kepentingan dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) iaitu sektor perikanan.
Sabah dan Sarawak dilihat sebagai pihak paling rugi dalam isu ini dan akan berterusan menjadi wilayah yang ketinggalan dalam pembangunan ekonomi”.
Ahmad turut mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan yang hanya menumpukan keberadaan ketiga-tiga aset tentera di sempadan perairan Sarawak, tetapi tidak di Sabah.
Tindakan sama katanya harus dilaksanakan di Sabah yang turut berhadapan ancaman maritim malah kawasannya lebih meluas kerana berdekatan dengan negara jiran Filipina.
“Kenapa Sabah dianaktirikan dan kenapa Menteri Pertahanan hanya berjanji kepada Premier Sarawak untuk tingkat keberadaan tentera tetapi tidak kepada Ketua Menteri Sabah? atau kerana Sabah tidak sepenting Sarawak?.
Atau keselamatan rakyat di Sabah tidak penting hingga tidak perlu tingkatkan keberadaan tentera di negeri ini sedangkan semua maklum sempadan perairan Sabah bukan saja berhadapan ancaman China tetapi juga isu tuntutan Sulu.
Kementerian Pertahanan dan kerajaan persekutuan harus bertindak adil tanpa terus bersikap berat sebelah terhadap kepentingan rakyat Sabah kerana kami juga sebahagian daripada Malaysia,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ahmad turut meminta Malaysia supaya mengambil peluang kesediaan China yang baru-baru ini mahu bekerjasama dengan negara-negara Asean bagi menyelesaikan pertikaian kawasan di Laut China Selatan.
Malaysia katanya, harus bersuara lantang bagi memastikan rundingan itu tidak berat sebelah atau memihak China dan pada masa sama menunjukkan Malaysia adalah negara Asean yang kuat.
“China mesti melihat Malaysia sebagai sebuah negara Asean yang kuat serta tidak akan mengambil mudah terhadap tuntutan mereka di Laut China Selatan dan kekal tegas bahawa wilayah kita mesti kekal berdaulat.
Sebarang tindakan mengganggu-gugat keselamatan perairan negara tidak akan diterima begitu sahaja, jika China mahu kekal mesra dengan negara-negara Asean yang lain, mereka harus setuju dengan syarat-syarat yang kita ada.
China mesti hormat kedaulatan kita sebagaimana kita hormati kedaulatan wilayah mereka dan sebarang senario yang boleh mengakibatkan perang di rantau ini tidak akan beri manfaat kepada kita atau mana-mana negara Asean lain.”
Malaysia juga jelas beliau, perlu berdiri teguh bersama negara Asean lain untuk mempertahankan kedaulatan negara agar tidak mengalami nasib sama seperti Ukraine yang diceroboh Rusia sebagai sekutu kuat China.
Tindakan Rusia yang mendapat sokongan langsung China itu memberi bayangan bahawa mereka cenderung mengambil tindakan sama sekiranya menghadapi senario serupa di rantau Asean ini.
“Justeru, aspek keselamatan perairan kita harus diperkukuhkan termasuk meningkatkan aset ketenteraan bagi memastikan Malaysia tidak kelihatan lemah pada persepsi negara lain,” kata Ahmad.