KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2022 – CIMB Islamic Bank Berhad (“CIMB Islamic”) bersama-sama rakan programnya iaitu Yayasan Waqaf Malaysia (“YWM”) dan Yayasan Belia Malaysia (“YBM”) hari ini menandatangani perjanjian kerjasama, yang akan menyaksikan kesinambungan Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur bagi edisi kedua menerusi konsep Wakaf Bertempoh.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut dilangsungkan di Menara CIMB di Kuala Lumpur pada hari ini untuk merasmikan edisi kedua inisiatif pemerkasaan komuniti ini, yang ditandatangani oleh Encik Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Prof. Dr. Amir Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif, YWM dan Dato’ Mustapa Othman, Ketua Pegawai Eksekutif, YBM.
Majlis tersebut turut disempurnakan dengan kehadiran YB Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), di mana beliau menyaksikan penandatanganan tersebut, bersama-sama dengan Dato’ Dr Suhaimi Ibrahim, Pengerusi, YBM dan Dato’ Mohamed Ross Mohd Din, Pengerusi, CIMB Islamic. Turut hadir ialah wakil-wakil dari
rakan program iaitu Taylor’s Community and penyedia perkhidmatan penghantaran makanan atas talian, foodpanda Malaysia.
Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur menyokong inisiatif iTEKAD anjuran Bank Negara Malaysia (“BNM”), yang menggerakkan kewangan sosial melalui sokongan aktif terhadap komuniti asnaf dan golongan B40 demi mencapai daya tahan kewangan yang stabil, di samping menjana punca pendapatan yang mampan. Program ini adalah bertujuan untuk memberi para peserta peluang pekerjaan sebagai penghantar makanan di bawah naungan foodpanda Malaysia, berserta latihan kemahiran keusahawanan daripada Taylor’s Community. YWMberperanan sebagai pengumpul dana Wakaf untuk program ini, manakala YBM merupakan penyelaras keseluruhan program dan juga bertanggungjawab menguruskan pemerolehan dan pengedaran motosikal kepada para peserta.
CIMB Islamic dan YWM komited menyumbangkan dana Wakaf sebanyak RM300,000 sebagai dana pemula untuk program ini melalui pengaplikasian konsep Wakaf Muaqqat (iaitu Wakaf Bertempoh) sejajar dengan matlamat iTEKAD yang mengutamakan penggunaan instrumen kewangan sosial Islam seperti Wakaf, dan Zakat dan sedekah.
YB Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary berkata, “Menerusi pengaplikasian konsep Wakaf Muaqqat, dana wakaf yang dikumpul ini akan ditukarkan kepada motosikal (iaitu ‘Ayn Wakaf) dan akan diserahkan kepada YBM secara Wakaf yang terikat selama 12 bulan (Wakaf Muaqqat).
Dalam tempoh perwakafan yang sama, YBM akan menyerahkan motosikal tersebut kepada peserta program sebagai “Ariyah” atau pinjaman. Setelah tamat tempoh pewakafan, motosikal tersebut akan dihibahkan kepada peserta program setelah mereka berjaya menamatkan program mengikut terma yang dipersetujui. Produk Waqaf seperti ini kini amat dititik beratkan oleh pentadbiran hal ehwal Islam dengan matlamat untuk memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan khususnya komuniti asnaf dan golongan B40.”
Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic berkata, “Kami menyedari akan kepentingan Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur, di mana ia menyalurkan bantuan ekonomi kepada para peserta yang terdiri daripada komuniti asnaf dan golongan B40, di samping memberi latihan kemahiran keusahawanan demi meningkatkan taraf hidup mereka. Sempena bulan Kemerdekaan dan sejajar dengan proposisi jenama baharu CIMB
Group, ‘Melangkah Ke Hadapan Bersama’, kami kekal komited untuk terus menyokong inisiatif iTEKAD anjuran BNM bersama-sama rakan program kami dalam usaha untuk memperkasakan ekonomi yang lebih mampan untuk kesemua para peserta dan sekali gus, menyemarakkan semangat keusahawanan di Malaysia. Ini adalah sejajar dengan pengantaraan berasaskan nilai (VBI) BNM, di mana hasil Shariah yang dihasratkan disalur kepada inisiatif yang menjana impak positif ke arah ekonomi dan masyarakat yang mampan.”
Program perintis sebelum ini bermula dengan kemasukan seramai 40 peserta dan telah meraih tindak balas positif daripada komuniti, program edisi kedua pada tahun ini bakal melihat seramai 50 peserta lagi mengambil bahagian. Para peserta akan melalui proses temu duga, diikuti dengan sesi latihan selama empat hari yang akan menampilkan pelbagai aspek keusahawanan seperti pengurusan kewangan, kemahiran teknikal dan kesejahteraan emosi. Para peserta di peringkat akhir akan dinilai dalam sesi pitching di mana mereka harus membentangkan idea perniagaan mereka di hadapan barisan panel sebelum menerima geran motosikal dan dilantik sebagai penunggang penghantaran makanan.
Setelah tamat tempoh penempatan kerja satu tahun mereka bersama foodpanda Malaysia, mereka akan diberikan pilihan untuk meneruskan pekerjaan mereka dengan foodpanda Malaysia ataupun menjadi usahawan sepenuhnya. Mereka yang memilih untuk memulakan perniagaan selepas tamat tempoh komitmen selama setahun itu akan mendapat akses kepada program latihan keusahawanan CIMB MicroBiz Ready dengan kemudahan pembiayaan mikro khas, serta Program Keusahawanan Taylor’s-CIMB Islamic yang menawarkan geran perniagaan.
Di samping itu, kemudahan perusahaan mikro BNM (“MEF”) termasuk geran-geran lain, serta pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana yang ditawarkan oleh CIMB Islamic juga tersedia untuk membantu pemilik perniagaan merealisasikan aspirasi keusahawanan mereka.